KUALA LUMPUR, 4 April – Langkah mengenakan cukai ke atas penjualan cecair vape untuk rokok elektronik merupakan antara pendekatan sederhana yang diambil kerajaan untuk mengawal selia produk merokok yang mengandungi nikotin serta menghentikan tabiat merokok dalam kalangan rakyat di negara ini. 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pada masa sama, kerajaan tetap tegas melarang perbuatan itu dilakukan di tempat-tempat seperti di sekolah dan Parlimen selain meningkatkan kempen advokasi bagi memberi kesedaran bahaya merokok terutama terhadap golongan muda.

“Mengambil tindakan agak ekstrem dengan mengharamkan vape, nikotin atau rokok itu, agak drastik dan tidak mampu dikendalikan oleh mana-mana negara di  dunia. Ramai yang memilih untuk merokok walaupun kita keluarkan kempen.

  “Sementara kita menjalankan kempen tentang kesan negatifnya, kita teruskan juga dengan (langkah) percukaian ini sekadar untuk tidak menjadikan bahan itu daripada tersebar luas dan murah.

“Saya setuju bahawa badan-badan kesihatan dan profesional semuanya tanpa kecuali, memang menentang keras soal ini (menyahsenaraikan produk cecair dan gel nikotin yang digunakan dalam alat rokok elektronik daripada Akta Racun 1952). 

“Tetapi pada hemat kerajaan buat sementara ini, kita sukar untuk mengharamkan tetapi kita boleh meningkatkan kesedaran supaya orang memilih…(untuk tidak merokok),” katanya.

Sementara itu, Anwar berkata kerajaan komited untuk membentangkan rang undang-undang berkaitan kawalan produk merokok termasuk rokok elektronik pada sidang Dewan Rakyat, Mei ini.

“Pada prinsipnya, kita akan terus bentang rang undang-undang ini (rang undang-undang berkaitan kawalan produk merokok)…pada peringkat awal kita setuju sekalikan rang undang-undang ini dengan cukai vape, tetapi oleh kerana banyak bantahan maka kita cadangkan Menteri Kesihatan rundingkan semula dengan teliti bersama Ahli-ahli Parlimen serta badan kesihatan.

“Ia bukan untuk melengahkan kerana ia akan dilaksanakan pada tahun ini juga dan ia (rundingan) supaya ada persefahaman berhubung beberapa peruntukan terutama pelaksanaan yang dianggap terlalu keras, namun pada peringkat sekarang Jabatan Kastam tetap akan mengawal pengedarannya,” kata beliau.

Semasa pembentangan Belanjawan 2023 pada 24 Feb lepas, kerajaan mengumumkan cadangan untuk mengenakan duti eksais ke atas produk cecair atau gel mengandungi nikotin yang digunakan untuk rokok elektronik dan peranti pengewapan elektronik. 

Pada 1 April lepas, media melaporkan kerajaan menerusi notis warta Kerajaan Persekutuan melaksanakan cukai ke atas penjualan cecair vape untuk rokok elektronik pada kadar 40 sen setiap mililiter (ml).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here