PUTRAJAYA, 4 April – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyenaraikan 1,135 fasiliti sukan dimiliki dan dikendalikannya di seluruh negara dalam direktori fasiliti yang diperkenalkan hari ini.

Menterinya Hannah Yeoh berkata ia bagi memudahkan orang ramai dan persatuan sukan kebangsaan (NSA) mengenal pasti dan memeriksa kemudahan sukan berdekatan bagi memudahkan penggunaan fasiliti tersebut.

Beliau berkata direktori yang boleh dilayari menerusi www.kbs.gov.my/home-fasiliti.html itu akan ditambah baik dari semasa ke semasa, termasuk memperkenalkan tempahan dalam talian serta memasukkan lebih banyak fasiliti milik kerajaan seperti pihak berkuasa tempatan.

Hannah juga berharap direktori itu dapat menangani isu kekurangan kemudahan yang dibangkitkan oleh NSA ketika sesi perjumpaan diadakan Disember lepas, selain pihaknya juga sedia berbincang untuk memberikan kadar sewa murah bagi latihan pasukan kebangsaan melibatkan sukan kurang popular.

“Direktori ini juga dapat menilai sama ada wujud percanggahan dalam infrasktruktur merentas Parlimen yang mewujudkan mismatch antara kemudahan dan keperluan mengikut lokasi dan jenis sukan, serta menggalakkan penggubal undang-undang menjadi lebih strategik apabila membangkitkan isu infrastruktur di Parlimen.

“Selain itu, dapat mengelakkan isu projek pembangunan ad-hoc sebelum ini yang dibina kerana kekurangan perancangan dan membolehkan penggunaan dana yang sewajarnya untuk pembangunan infrastruktur masa depan,” katanya.

Hannah berkata direktori itu juga dapat membantu KBS untuk mengenal pasti fasiliti sukan yang perlu dinaik taraf, mendapat permintaan ramai serta kurang mendapat permintaan di sesuatu kawasan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here