MELAKA, 7 April – Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berharap dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Perikatan Nasional (PN) menyertai Kerajaan Perpaduan yang baharu ditubuhkan di negeri ini sebelum Enakmen Anti Lompat Parti dibentangkan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Julai ini.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka berkata jika kedua-dua ADUN berkenaan bersetuju menyertai Kerajaan Perpaduan di Melaka, ia bakal mencatat sejarah sebagai negeri pertama ‘sifar’ pembangkang.

“Saya berharap daripada 28 kerusi di dalam DUN, kita dah ada lebih 26 kerusi ADUN kerajaan. Kita (Barisan Nasional) menang 21 kerusi, lima daripada blok Pakatan Harapan (PH) iaitu empat DAP, satu Amanah (Parti Amanah Negara).

“Jadi saya berharap dua ADUN daripada PN berkenaan, kalau ada hasrat untuk menyertai Kerajaan Perpaduan, kita sudi menerimanya. Saya adalah orang yang paling gembira kerana  Melaka bakal muncul negeri pertama ‘zero’ (sifar) pembangkang,” katanya.

Melaka mempunyai dua ADUN pembangkang daripada PN iaitu Dr Yadzil Yaakub (Bemban) dan Dr Mohd Aleef Yusof (Sungai Udang).

Setakat ini, hanya tujuh negeri menguatkuasakan undang-undang lompat parti iaitu Selangor, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Negeri Sembilan, Kelantan dan Sarawak.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here