KUALA LUMPUR, 20 Dis — Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan mencari penyelesaian agar industri pelancongan tidak terjejas susulan bencana alam yang melanda negara ketika ini.

Menterinya Datuk Seri Tiong King Sing berkata walaupun kejadian seperti tanah runtuh dan banjir adalah perkara luar jangka, MOTAC perlu berusaha mencari penyelesaian jangka panjang untuk melindungi pemain industri pelancongan di masa hadapan.

“Keseriusan kejadian ini akan dibincang dalam mesyuarat Kabinet esok,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan kempen ‘Ini Batik Malaysia’ di Bangunan Parlimen di sini hari ini.

Tragedi tanah runtuh pada 2.42 pagi Jumaat lepas di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali, Selangor setakat ini telah mengorbankan 24 nyawa dengan sembilan lagi mangsa masih hilang daripada keseluruhan 94 mangsa yang terlibat.

Beberapa negeri pula sedang dilanda bencana banjir antaranya Terengganu, Kelantan, Pahang, Johor dan Perak susulan fenomena Monsun Timur Laut yang turut menjejaskan kawasan pelancongan.

Mengenai industri batik Malaysia pula, Tiong berkata kementeriannya sedang merancang untuk mengimport bahan mentah berkualiti tinggi yang digunakan dalam penghasilan batik, sebagai langkah sementara sebelum bahan mentah tersebut dapat dihasilkan secara meluas di dalam negara.

“Malaysia mempunyai peluang dan potensi untuk menjadi pengeluar batik terbesar dunia dalam masa terdekat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here