KUALA LUMPUR, 7 April – Malaysia akan terus bekerjasama rapat dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi mempromosi kesihatan, memelihara kesejahteraan serta memberi perkhidmatan kepada golongan rentan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerjasama itu penting bagi memastikan setiap rakyat walau di mana sahaja berada boleh mencapai tahap kesihatan dan kesejahteraan tertinggi. 

Beliau berkata hari ini Malaysia bersama-sama masyarakat antarabangsa meraikan Hari Kesihatan Sedunia dan 7 April  2023 juga merupakan ulang tahun ke-75 Pertubuhan WHO.

“Justeru, sambutan Hari Kesihatan Sedunia ini turut mempamerkan perkongsian serta kerjasama erat antara Kerajaan Malaysia dan WHO yang telah terjalin sejak 65 tahun yang lalu.

“Saya mengulangi komitmen kerajaan untuk memacu pelaksanaan agenda kesihatan bagi semua,” kata Anwar.

Beliau berkata tema ‘Kesihatan untuk Semua’ tahun ini adalah selaras dengan nilai dan prinsip Malaysia MADANI yang kerajaan mengiktiraf hak untuk kesihatan sebagai hak asasi penting manusia bagi mencapai kehidupan bermaruah. 

“Hak untuk kesihatan ini seharusnya dinikmati oleh setiap orang secara saksama tanpa mengira status atau sebarang perbezaan dan diskriminasi,” kata Perdana Menteri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here