BEIJING, 9 April – China mengamalkan ketelusan dalam berkongsi hasil penyelidikan mengenai pengesanan asal usul SARS-CoV-2 dengan masyarakat antarabangsa, kata seorang pegawai kesihatan China.

Ketua Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) China Shen Hongbing berkata sejak tercetusnya COVID-19, China secara aktif berkomunikasi dan bekerjasama dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan menjemput WHO menghantar pakar antarabangsa sebanyak dua kali untuk menjalankan kajian bersama mengenai asal usul virus berkenaan di China.

Beliau menyatakan fasa pertama kajian bersama itu berjaya dijalankan di Wuhan, dengan laporan penyelidikan melibatkan China diterima sepenuhnya oleh pakar dalam dan luar negeri serta WHO.

“Sepanjang fasa pertama kajian bersama, China membekalkan pakar antarabangsa semua bahan berkaitan asal usul virus, dan kami tidak menyembunyikan sebarang kes jangkitan, sampel atau keputusan ujian dan analisis,” katanya semasa sidang media pada Sabtu.

Bercakap mengenai penafian sesetengah pegawai dan pakar WHO terhadap hasil penyelidikan, Shen membalas dengan mengatakan ia bertentangan dengan semangat saintifik dan merupakan penghinaan kepada saintis yang terlibat dalam kerja mencari asal usul virus.

Shen turut menggesa WHO supaya kembali ke pendirian saintifik dan adil dalam mengesan asal usul COVID-19, dan jangan menjadi alat dipergunakan negara lain untuk mempolitikkan isu berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here