LAHAD DATU, 9 April – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan mengadakan program khas berkaitan Program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang dilaksanakan menerusi Unit Pusat Universiti (UPU) dalam tempoh terdekat ini, kata Timbalan Menterinya Datuk Yusof Apdal.

Beliau berkata perkara itu antara usaha untuk memperkasa, sekali gus mempromosi TVET kepada pemohon UPU bagi menarik mereka memilih kursus pengajian bidang tersebut di universiti.

“Ini (TVET) akan sama taraf dengan UPU,” katanya.

Yusof dalam pada itu berharap pihak pengurusan politeknik dan kolej komuniti khususnya di Zon Sabah lebih agresif dalam menyampaikan maklumat serta mempromosi TVET untuk kemasukan ke institusi berkenaan.

“TVET merupakan satu bentuk pendidikan yang tidak kurang pentingnya berbanding aliran akademik lain, malah mempunyai kelebihan yang tersendiri dalam menyediakan tenaga kerja yang berkelayakan dan berdaya saing dalam dunia pekerjaan.

“TVET ini antara perkara yang turut ditekankan oleh Menteri Pendidikan Tinggi sebagai satu dasar yang harus diberikan tumpuan oleh kementerian, program TVET bukanlah lagi pengajian kelas kedua, tetapi turut penting sebagai penyedia tenaga kerja yang menepati kehendak industri,” katanya.

Sementara itu, Yusof berkata pengenalan dan penawaran program pembelajaran sepanjang hayat (PSH) di kolej komuniti di sini memberi peluang kepada masyarakat untuk terus belajar dan mengembangkan kemahiran mereka, misalnya dengan penyertaan pelajar tahfiz.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here