KUALA LUMPUR, 26 April – Duta Keamanan terkenal Prem Rawat mencipta Rekod Dunia Guinness baharu apabila berjaya menarik bilangan penonton paling ramai dalam sesi pembacaan buku oleh seorang penulis.

Acara yang berlangsung pada 2 April di Lucknow, India itu menyaksikan Rawat membaca satu bab bukunya “Hear Yourself” dalam bahasa Hindi kepada lebih 114,000 penonton, mengatasi rekod sebelumnya seramai 6,786 orang.

“Hear Yourself” merupakan kisah-kisah dari zaman purba dan moden hasil pengalaman Rawat bertemu pelbagai orang, daripada tokoh agama, pemimpin politik sehinggalah banduan di beberapa penjara keselamatan tertinggi di dunia,” menurut kenyataan yang disediakan kepada Bernama.        

Buku terbitan Harper Collins dalam bahasa Inggeris di Amerika Syarikat pada September 2021 itu, mencatat jualan buku terlaris New York Times.

Buku itu kini boleh didapati dalam beberapa bahasa lain termasuk Perancis, Sepanyol, Itali, Jerman dan Portugis.

“Buku dalam bahasa Hindi telah dikeluarkan di seluruh India dan antarabangsa,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu juga menyebut bahawa rekod dunia baharu yang dilakar oleh Rawat juga melebihi rekod berbilang penulis sebelumnya iaitu seramai 20,264 penonton yang dipegang oleh pengarang Harry Potter, J.K. Rowling, dan dua yang lain.

Dilahirkan di India Utara pada tahun 1957, Rawat telah menyampaikan ucapan kepada ratusan juta orang di seluruh dunia pada acara langsung serta di TV dan radio.

Ucapan beliau telah diterjemah ke dalam lebih daripada 75 bahasa, dan beliau kerap dijemput untuk berucap di universiti dan forum dan acara antarabangsa berprestij.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here