ELAKA, 8 Mei – Melaka dijangka meraih pendapatan RM30 juta dengan kedatangan 6,000 pelancong dari Timur Tengah menjelang akhir tahun hadapan sempena Tahun Melawat Melaka 2024, menurut Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.

Beliau berkata sasaran itu sejajar dengan pelbagai inisiatif memorandum persefahaman (MoU) kerajaan negeri menerusi Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Melaka bersama empat agensi pelancongan dari Timur Tengah hari ini.

Agensi itu ialah Egypt Promotion Travel SAE (Kaherah), Travel Link (Amman), Asean Travel & Tourism Agency (Arab Saudi) dan Adonis Tourism LLC (UAE dan Oman).

Beliau berkata MoU berkenaan bertujuan mengukuhkan kedudukan Melaka sebagai destinasi pilihan bagi pasaran pelancong dari Timur Tengah sekali gus menarik lebih banyak pengunjung dari negara tersebut.

Menurut Abdul Razak, ia juga dapat meningkatkan kerjasama dan memperluas jaringan pemasaran pelancongan antara ahli MATTA Melaka dengan agensi pelancongan dari Timur Tengah.

“Inisiatif ini (MoU) dilakukan lanjutan daripada penyertaan Melaka di Arabian Travel Market 2023 yang berlangsung pada 30 April hingga 4 Mei lepas di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

“Justeru, kerajaan negeri menjangkakan pelancong dari Timur Tengah akan meningkat pada tahun hadapan kerana pelbagai pakej dan promosi pelancongan menarik ditawarkan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi MATTA Melaka Goh Hock Gin berkata menerusi MoU itu, pelancong dari Timur Tengah dijangka menginap sekurang-kurangnya satu malam di Melaka berbanding setengah hari ketika ini.

Beliau berkata pelancong Timur Tengah juga akan didedahkan dengan budaya pelbagai kaum di Melaka yang menjadi satu daripada tarikan utama pelancongan selain pelbagai produk pelancongan popular.

“Program pertukaran budaya antara Melaka dan Timur Tengah juga akan dilaksanakan menerusi MoU itu,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here