KUALA LUMPUR, 15 Jun – Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara memutuskan agar satu Rang Undang-undang Keselamatan Siber digubal segera, bagi memastikan segenap aspek perundangan yang berkaitan dapat dituntaskan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Majlis Keselamatan Negara telah dipertanggungjawabkan sebagai agensi tonggak, untuk menggembleng usaha dan ikhtiar merentas pelbagai entiti kerajaan serta pihak industri dalam hal ini.

“Saya menegaskan bahawa tiada kompromi terhadap keselamatan negara termasuk di dalam domain digital dan eko-sistem siber,” katanya.

Anwar berkata rang undang-undang berkenaan akan memberi NACSA, MKN punca kuasa undang-undang yang jelas, untuk mengawal selia dan menguatkuasakan undang-undang berkaitan keselamatan siber, serta menambah baik keberkesanan fungsi-fungsi NACSA, MKN.

Beliau berkata perkara ini sejajar dengan hasrat yang termaktub dalam Arahan MKN No. 26 Pengurusan Keselamatan Siber Negara dan Strategi Keselamatan Siber Malaysia (Malaysia Cyber Security Strategy, MCSS).

Perdana Menteri berkata entiti dalam eko-sistem siber akan terus mengekalkan kuasa yang membolehkan mereka melaksanakan fungsi masing-masing.

“Pada masa yang sama, fungsi tugas beberapa entiti teras berkaitan keselamatan siber akan diselaraskan, bagi mengelakkan pertindihan fungsi dan memaksimakan kecekapan,” katanya.

Anwar berkata Malaysia harus menelusuri cabaran era digital, yang menuntut kesiapsiagaan terbaik seluruh jentera Kerajaan dalam menangani ancaman keselamatan siber.

Perihal ini, katanya menjadi keutamaan bukan sahaja di dalam negara tetapi turut mencakup ehwal yang lebih besar di peringkat global, kerana alam siber dan komunikasi digital meresapi pelbagai aspek dalam kehidupan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here