KAJANG, 26 Jun – Barisan Nasional (BN) telah memohon untuk mendapatkan dua kerusi tambahan untuk ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan iaitu masing-masing satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang terletak dalam Parlimen Seremban dan Parlimen Jelebu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata BN telah ditawarkan 16 kerusi DUN dan membuat permohonan itu supaya agihan antara BN dan Pakatan Harapan (PH) sama rata.

Ahli Parlimen Jelebu itu berkata permohonan tersebut akan diputuskan selepas mesyuarat Majlis Presiden PH dalam masa terdekat.

“Kita optimis akan dapat dua lagi kerusi,” katanya.

Jalaluddin, yang juga Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Pusat Pengurusan Trafik LLM di Wisma Lebuh Raya di sini hari ini.

Negeri Sembilan mempunyai 36 kerusi DUN dengan PH menguasai 20 manakala bakinya dikuasai BN.

Lima lagi negeri yang bakal mengadakan PRN ialah Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here