KUALA LUMPUR, 27 Jun – Purata perjalanan penumpang harian pada hari bekerja bagi Perkhidmatan Laluan Transit Aliran Massa Laluan Putrajaya (MRT2) meningkat 305 peratus berdasarkan pemantauan Kementerian Pengangkutan. 

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata jumlah perjalanan itu meningkat daripada 23,000 perjalanan penumpang dalam Fasa 1 kepada 93,000 perjalanan penumpang sehari dalam Fasa 2.

“Perkhidmatan MRT Laluan Putrajaya (MRT2) bermula dengan pembukaan Fasa 1 iaitu dari stesen Kwasa Damansara ke Stesen Kampung Batu pada 16 Jun 2022 diikuti dengan Fasa 2 pada 16 Mac 2023,” katanya.

Beliau berkata RapidKL juga menyediakan perkhidmatan bas perantara di sekitar Putrajaya bagi menggalakkan penggunaan MRT2, yang melibatkan lima laluan termasuk laluan dari stesen MRT Putrajaya Sentral ke Presint 10, Presint 16, Presint 4, Presint 11 dan Ayer 8. 

Loke berkata purata perjalanan penumpang harian pada hari bekerja yang direkodkan bagi lima laluan itu daripada Mac 2023 sehingga 25 Jun 2023 adalah 706 perjalanan penumpang dan dijangka terus meningkat berdasarkan trend penumpang pada masa kini.

“Menjelang suku tahun keempat 2023, bilangan penumpang dijangka terus meningkat dengan penambahan tren-tren baharu yang akan beroperasi di Laluan Kelana Jaya dan penyiapan penuh kerja membaik pulih struktur retak di Laluan Ampang. 

“Kementerian Pengangkutan melalui Prasarana akan terus menambah baik perkhidmatan pengangkutan awam dan membuat pelaburan dalam infrastruktur rel dan bas mengikut keperluan demi menggalakkan peralihan ke mod pengangkutan awam yang lebih selesa, lebih selamat dan rendah karbon,” katanya.

Beliau berkata selain itu, pas perjalanan tanpa had MY50 bagi perkhidmatan rel dan bas juga diteruskan sebagai usaha kerajaan bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.

Loke berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya berhubung perancangan kementerian untuk mendorong lebih ramai pengguna laluan MRT Putrajaya yang menelan kos pembangunan sebanyak RM30.53 bilion untuk menggunakan perkhidmatan tersebut.

Sementara itu, beliau berkata purata perjalanan penumpang yang menggunakan perkhidmatan Rapid Rail untuk hari bekerja meningkat lebih 21 peratus iaitu 746,000 penumpang pada Jun 2023 berbanding 613,000 pada Januari 2023.

Katanya perkhidmatan itu termasuk Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Ampang, LRT Laluan Kelana Jaya, Laluan Monorel, Laluan Transit Aliran Massa (MRT) Kajang dan MRT Putrajaya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here