KUALA LUMPUR, 27 Jun – Plus Malaysia Berhad (PLUS) akan mengaktifkan laluan ‘SmartLane’ di lima lokasi kritikal di sepanjang lebuh raya kendaliannya bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas yang dijangka berlaku semasa cuti perayaan Aidiladha.

Pengurus Besar Kanan Operasi PLUS Mohd Yusuf Abdul Aziz berkata SmartLane akan diaktifkan di laluan terpilih antara Persimpangan Port Dickson ke Persimpangan Seremban antara kilometer (km) 260.0 hingga KM263.1 arah utara dan Persimpangan Senai Utara ke Persimpangan Bertingkat Kulai antara KM19.0 hingga KM27.0 arah utara.

Lokasi lain termasuk laluan Gua Tempurung ke Gopeng (KM306.7 hingga KM297.0 – Arah Utara), laluan Sungai Slim ke Sungkai (KM367.3 hingga KM354.1 – Arah Utara), dan laluan Kawasan Rehat dan Rawat Rawang-Persimpangan Sungai Buaya (KM439.9 hingga KM435.5 – Arah Utara).

“Di lokasi SmartLane ini, pengguna lebuh raya akan dibenarkan masuk dan memandu buat sementara waktu di lorong kecemasan sebelum diarahkan masuk semula ke lorong utama untuk meneruskan perjalanan.

“Bagaimanapun, pengguna dilarang sama sekali memandu di lorong kecemasan di lokasi lain di mana SmartLane tidak diaktifkan,” menurut PLUS dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata PLUS juga secara proaktif membuat persiapan lain untuk menguruskan lonjakan trafik melalui pelbagai pendekatan untuk memastikan pengguna lebuh raya dapat menikmati perjalanan yang lebih selamat dan lancar semasa musim perayaan.

“Kami menjangkakan kira-kira 2 juta kenderaan akan berada di lebuh raya kendalian PLUS terutamanya pada hari puncak iaitu 28 Jun (Rabu) dan 1 Julai (Sabtu) iaitu peningkatan sebanyak 12 peratus berbanding 1.7 juta kenderaan sehari berbanding hari-hari biasa sempena Aidiladha kali ini,” katanya.

Antara langkah yang diambil untuk menangani lonjakan trafik termasuk meningkatkan pasukan PLUSRonda untuk menjalankan rondaan tambahan di lebuh raya dan menggantung sementara kerja-kerja penyelenggaraan jalan antara tempoh 24 Jun dan 3 Julai dengan pengecualian terhadap kerja-kerja penyelenggaraan dan kecemasan yang memerlukan tindakan segera demi keselamatan pengguna.

“PLUS juga mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA). Jadual TTA boleh dirujuk di laman web PLUS atau semua saluran media sosial PLUS.

“…dan menyediakan makluman trafik terkini menerusi paparan papan tanda elektronik lebuh raya, stesen-stesen radio, Twitter PLUSTrafik, media social dan Chatbot PUTRI,” menurut kenyataan itu.

PLUS turut menasihati pengguna lebuh raya agar memastikan mereka menggunakan mod pembayaran yang sama ketika masuk dan keluar dari lebuh raya untuk mengelakkan berlaku kesulitan di plaza tol.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here