PUTRAJAYA, 27 Jun – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati apabila menerima jemputan untuk menyertai atau memuat turun aplikasi berbahaya yang dikenali sebagai “Pink WhatsApp,” kerana ia menimbulkan risiko keselamatan yang serius.

Dalam satu kenyataan hari ini, MCMC memaklumkan aplikasi itu diiklankan secara palsu untuk menawarkan ciri-ciri keselamatan dan privasi yang lebih baik, halaman muka boleh ditempah mengikut keinginan dan mempunyai keupayaan untuk menghantar fail yang lebih besar berbanding aplikasi WhatsApp yang popular.

Walau bagaimanapun, selepas dimuat turun, aplikasi berkenaan boleh mengakses pelbagai item di dalam telefon pintar pengguna seperti foto, mesej SMS dan senarai kenalan, yang menimbulkan risiko keselamatan yang serius.

“Pengguna mungkin menerima mesej dan pautan yang kelihatan seperti daripada WhatsApp yang menjemput mereka untuk mencuba aplikasi baharu itu,” menurut MCMC.

Semua pengguna dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan berkaitan “Pink WhatsApp” kepada portal Aduan MCMC di https://aduan.mcmc.gov.my/#/public/main atau talian hotline Aduan di 1800-188-030.

MCMC juga mengesyorkan agar orang ramai hanya memuat turun aplikasi mudah alih daripada aplikasi rasmi seperti Apple App Store, Google Play Store dan Galeri Apl Huawei.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here