IPOH, 1 Julai — Seramai 35 pendatang tanpa izin yang menyembunyikan diri dalam kebun kelapa sawit ketika baru mendarat di pesisir pantai kawasan Segari, Manjung berjaya ditahan semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung ACP Mohamed Nordin Abdullah berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berkaitan sebuah bot terdampar di pesisir pantai itu yang dikatakan dinaiki warga asing pada pukul 9.45 pagi.

Beliau berkata susulan maklumat itu, sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan dan hasil pencarian di kebun sawit menemukan sekumpulan pendatang tanpa izin yang terdiri daripada 24 lelaki, 10 wanita serta seorang kanak-kanak warganegara Indonesia sedang bersembunyi. 

“Hasil siasatan awal terhadap tangkapan, polis kemudian menahan dua lelaki tempatan di sebuah restoran makanan laut di sekitar Kampung Bharu, Manjung,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata kedua-dua lelaki itu akan disiasat lanjut mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 manakala pendatang tanpa izin mengikut Seksyen 6 (1) (c) dan Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here