MELAKA, 4 Julai – Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti dijangka dibentangkan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka yang  berlangsung akhir bulan ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Jelasnya pembentangan itu bagi melarang mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini bertukar parti.

“Keputusan ini juga selari dengan Dewan Rakyat di peringkat Parlimen dan ia juga mengikut apa yang telah pun diputuskan pucuk pimpinan sebelum ini.

“Jadi Melaka akan ambil langkah sama kali ini untuk RUU itu dibentangkan dalam sidang DUN akan datang,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan lokasi pelaksanaan inisiatif  No Right Turn dan trafik di Persimpangan Stadium Hang Jebat, Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA) di sini hari ini.

Dalam pada itu Ab Rauf yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka berkata parti itu juga sedia untuk membantu jentera Negeri Sembilan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).

Beliau berkata antara lokasi yang dikenal pasti ialah kawasan DUN dalam Parlimen yang bersempadanan dengan kedua negeri seperti  Rembau, Tampin dan Port Dickson.

“Saya masih belum dapat maklumat lengkap berapa kerusi DUN, tetapi setakat ini antara kawasan yang  kami kenal pasti untuk bantu jentera yang bersempadan seperti Rembau, Tampin, Gemenceh, Linggi, Port Dickson, Teluk Kemang dan Seremban,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here