KUALA LUMPUR, 11 Julai — Parti Amanah Negara (Amanah) dijangka bertanding lebih 30 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos ini, kata Timbalan Presidennya Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Beliau berkata Amanah akan bertanding sembilan kerusi DUN di Selangor, tujuh kerusi di Kelantan manakala tiga DUN di Negeri Sembilan.

“Terengganu (Amanah) mungkin bertanding tiga atau empat (kerusi) dan insya-Allah Kedah pula tujuh atau lapan (kerusi),” katanya pada sidang media selepas melakukan tinjauan harga barangan di sebuah pasar raya, di sini hari ini.

Salahuddin berkata parti itu yakin mampu mengekalkan kemenangan yang ada, serta mempunyai peluang seimbang untuk merebut kemenangan di negeri yang ditadbir pembangkang ketika ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRN membabitkan Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Kedah diadakan serentak pada 12 Ogos sebagai hari pengundian, manakala undi awal pada 8 Ogos dan penamaan calon pada 29 Julai.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here