JOHOR BAHRU, 13 Julai – Satu jawatankuasa khas akan dibentuk bagi meneliti cadangan pembinaan Hospital Sultanah Aminah 2 (HSA2) di salah satu tanah milik Kementerian Pertahanan (MINDEF), kata Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Menerusi satu hantaran di Facebook hari ini, beliau berkata langkah itu bagi membolehkan pelbagai perkara yang telah dipersetujui dapat direalisasi di samping merangka perancangan yang sistematik. 

Beliau berkata pembinaan HSA2 amat penting kerana mampu mengurangkan kebergantungan dan  kesesakan di Hospital Sultanah Aminah di sini, yang sedia ada.

“Syukur Alhamdulillah, terima kasih Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan atas bantuan serta kerjasama yang baik dan semoga usaha sama Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri akan memberi impak positif kepada kualiti hidup Bangsa Johor, seterusnya mampu mengangkat negeri Johor sebagai sebuah negeri yang maju. Insya-Allah. 

“Selain itu, isu-isu hal ehwal keselamatan dan pertahanan Johor amat mustahak, terutamanya isu keselamatan sempadan negeri, dan perkara ini telah dibincangkan bersama,” katanya menerusi hantaran itu.

Bulan lepas, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa dipetik sebagai berkata hasil perbincangan antara Kementerian Kesihatan (KKM) dengan MINDEF berhubung isu milikan tanah yang dicadangkan bagi pembinaan Hospital Sultanah Aminah (HSA) 2, dijangka diketahui dalam dua atau tiga bulan lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here