KUALA LUMPUR, 13 Julai – Keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022 mencatatkan perkembangan positif dengan calon yang memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 meningkat kepada 1,184 orang berbanding 874 pada 2021.

Selain itu, PNGK Nasional STPM 2022 juga turut meningkat kepada 2.82 berbanding 2.79 tahun sebelumnya.

Negeri Sembilan mencatat PNGK 2.82 manakala seramai 108 daripada 3,421 calon di Perak memperoleh PNGK 4.00 dan jumlah calon yang mencatatkan keputusan PNGK 4.00 di Pulau Pinang adalah 73 orang.

Pengarah Pendidikan Negeri Negeri Sembilan Dr Roslan Hussin berkata 1,424 daripada 1,441 calon lulus penuh dan mendapat sekurang-kurangnya satu mata pelajaran peringkat prinsipal iaitu 98.82 peratus berbanding 98.84 peratus pada 2021.

“Seramai 63 calon lulus lima prinsipal (4.37 peratus), 1,040 lulus empat prinsipal (72.17 peratus), 214 lulus tiga prinsipal (14.85 peratus),” katanya menambah daerah Rembau mengungguli carta dengan pencapaian PNGK daerah 3.01 berbanding 3.15 (2021).

Pengarah Pendidikan Negeri Perak Mohamad Fauzi Mahson pula berkata peratusan calon yang lulus penuh dalam lima dan empat mata pelajaran di negeri itu juga meningkat kepada 3,357 orang berbanding 3,337 pada 2021.

“Antara sekolah yang mempunyai pelajar paling ramai memperoleh PNGK 4.00 ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Tasek; SMK Menglembu; SMK Sam Tet; dan SMK St Michael,” katanya pada sidang media di Dewan Canselor Universiti Teknologi Petronas di Seri Iskandar.

Di PULAU PINANG, Pengarah Pendidikan Jabatan Negeri Abdul Rashid Abdul Samad berkata purata PNGK negeri itu 2.85 dan secara keseluruhannya dianggap masih sama dengan pencapaian calon STPM 2021.

Di PERLIS, Pengarah Pendidikan Negeri Naharudeen Othman berkata Perlis sekali lagi mencapai keputusan tiada calon gagal apabila daripada 443 calon yang hadir, seramai 442 calon atau 99.77 peratus mencapai lulus penuh manakala seorang calon lulus sebahagian.

Di KELANTAN, Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Negeri Mohd Hassany Hashim berkata pencapaian PNGK adalah 2.93 melibatkan 3,356 calon dengan 717 calon atau 21.36 peratus mendapat 5 prinsipal, manakala 2,084 orang mendapat 4 prinsipal.

Di JOHOR, Pengarah Pendidikan Negeri Md Said Md Daimon berkata PNGK negeri itu adalah 2.93, dan 160 daripada 4,311 calon yang mendaftar bagi peperiksaan itu mendapat PNGK 4.00 dengan lima calon mendapat 5A dalam kelima-lima mata pelajaran dan 147 orang mendapat 4A.

Di SABAH, Timbalan Pengarah Sektor Perancangan dan Pengurusan Jabatan Pendidikan Negeri Mohd Zaini Yanin berkata PNGK bagi negeri itu adalah 2.72, meningkat sebanyak 0.01 mata berbanding 2.71 pada 2021, dan seramai 324 orang atau 4.63 peratus calon memperoleh keputusan 5P.

“Seramai 4,802 calon memperoleh 4P (68.59 peratus), 3P seramai 1,084 calon (15.48 peratus), 2P seramai 466 calon (6.66 peratus) dan 1P seramai 245 calon (3.50 peratus),” katanya, pada Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan STPM di Kolej Tingkatan Enam Kota Kinabalu.

Di TERENGGANU, Timbalan Pengarah Pendidikan (Sektor Pembelajaran) Jabatan Pendidikan Negeri Kasman Embong berkata calon yang mendapat keputusan A penuh meningkat kepada 112 orang, berbanding 64 orang pada 2021, selain PNGK negeri adalah 3.04. 

SMK Sultan Sulaiman dinobatkan sebagai sekolah terbaik manakala pelajar SMK Bukit Payong, Besut, Nurul Iman Asmadi diumum sebagai calon cemerlang STPM 2022 peringkat kebangsaan, katanya pada majlis pengumuman STPM negeri di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman.

Di PAHANG, Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Pahang Abdul Rahim Mohd Yunus berkata pencapaian STPM 2022 yang melibatkan keseluruhan 2,076 calon berdaftar mencatat prestasi Gred Purata Sekolah (GPS) bagi 41 sekolah kerajaan adalah sebanyak 2.90 mata, sama seperti tahun sebelumnya.

Seramai 1,997 calon atau 99.4 peratus mendapat kelulusan penuh iaitu sekurang-kurangnya satu mata pelajaran lulus penuh.

Di SARAWAK, Pengarah Pendidikan Negeri Dr Azhar Ahmad berkata seramai 147 calon memperoleh keputusan PNGK 4.00 pada peperiksaan itu, selain 1,002 calon (35.42 peratus)  mendapat PNGK 3.0 hingga 3.99.

Ketika mengumumkan keputusan peperiksaan STPM 2022 di SMK Sacred Heart hari ini beliau berkata secara keseluruhan, kohort STPM 2022 merekodkan 5,364 calon sekolah atau 98.86 peratus menduduki peperiksaan itu berbanding 98.42 peratus tahun 2021.

Di KEDAH Timbalan Pengarah Pendidikan (Sektor Pembelajaran) Negeri Mahadhir Ismail berkata 40 sekolah mencatat keputusan 100 peratus lulus penuh dengan 84 calon memperoleh PNGK 4.00. 

“Dua calon dari negeri ini dipilih menerima anugerah daripada Majlis Peperiksaan Malaysia bagi kategori Pelajar Terbaik STPM 2022, iaitu Nursyuhaila Abdullah dari Kolej Tingkatan Enam Kulim dan Muhammad Afdhal Danish Mohd Rithauddeen dari Kolej Tingkatan Enam Sultan Sallehuddin,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here