KAJANG, 13 Julai – Penjara Wanita Kajang menjadi penjara pertama di negara ini  melaksanakan Program Wanita Bangkit Bersasar yang bertujuan membantu bekas banduan wanita menjalani kehidupan lebih baik selepas keluar daripada penjara.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata projek rintis itu merupakan kesinambungan kepada Program MyKasih Kapital yang diperkenalkan semasa tempoh pandemik COVID-19, dengan menyasarkan wanita yang berbakat dalam menjalankan perniagaan tetapi tidak boleh keluar rumah disebabkan kekangan tertentu seperti menjaga anak.

“Jadi apa yang kita buat ialah melalui Yayasan Kebajikan Negara, kita bagi bantuan modal RM500 dan peralatan untuk mereka menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan dan sejak Disember lepas seramai 5,000 wanita telah dibantu. 

“Cuma untuk Program Wanita Bangkit Bersasar dengan kerjasama Jabatan Penjara ini, kita akan mencari mekanisme pelaksanaan yang lebih bersesuaian kerana ia akan melibatkan banduan wanita yang masih dalam tempoh Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL),” katanya.

Nancy berkata pada ketika ini, terdapat lebih 3,800 banduan wanita di seluruh negara dan daripada jumlah itu kira-kira 1,000 orang adalah warganegara manakala selebihnya warga asing.

“Daripada kira-kira 1,000 banduan warganegara itu, mereka yang akan dibebaskan dalam satu-satu masa ialah lebih kurang 10 peratus ( 100 hingga 200 orang). Oleh itu, kita berharap ini (program) akan memberikan mereka harapan baharu untuk meneruskan kehidupan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here