BUTTERWORTH, 17 Julai – Kerajaan memberi jaminan akan meningkatkan kemasukan pelajar etnik India ke program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam usaha mengurangkan tekanan kemiskinan dalam kalangan kaum itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata hal ini dimaklumkan kepada beliau oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara yang sedang mengusahakan perkara itu.

“Saya diberitahu Ahmad Zahid, ada rayuan agar pelajar India diberikan peluang kepada akses ke TVET. Saya belum dapat jumlah pelajar etnik India ke TVET tetapi usaha sedang dilakukan,” katanya ketika berucap pada Program Ramah Mesra Bersama Masyarakat India Negeri Pulau Pinang di Arena Seberang Perai hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II Dr P.Ramasamy.

Anwar berkata langkah itu merupakan antara usaha kerajaan bagi mengurangkan tekanan hidup rakyat sekali gus menoktahkan kemiskinan tegar untuk semua termasuk kaum India di negara ini.

Mengulas rungutan pelajar India dan Cina yang tidak mendapat tempat di Kolej Matrikulasi meskipun meraih keputusan cemerlang, Anwar berkata Kementerian Pendidikan di bawah Menteri berkenaan iaitu Fadhlina Sidek sedang menyelesaikan isu tersebut.

“Negara ini kita ada meritokrasi dan satu lagi ialah pendemokrasian untuk mengakses pendidikan. Kita kena seiring kedua-duanya.

“Saya beritahu Fadhlina, tidak usah buat kenyataan, tidak usah bising-bising, hanya dapatkan laporan penuh dalam masa satu dua minggu dan selesaikan isu ini,” katanya.

Perdana Menteri, yang mempunyai jadual padat di Pulau Mutiara hari ini, berkata kerajaan pimpinan beliau tetap dengan pendirian untuk menghormati setiap hak warganegara di Malaysia walaupun terdapat asakan kasar daripada pembangkang yang mendakwa kononnya Anwar berusaha mempertahan hanya hak kaum lain, bukan orang Melayu.

“Ini adalah prinsip yang sangat asas. Di luar sana, terdapat propaganda untuk menimbulkan ketakutan dalam kalangan orang Melayu bahawa mereka sedang terancam kerana Anwar sebagai Perdana Menteri kini berkompromi dengan bukan Melayu dan menyerahkan hak serta kuasa orang Melayu.

“Kita perlu berusaha bersungguh-sungguh bagi memastikan bahawa amalan rasisme, propaganda perkauman dan ketaksuban agama tiada tempat di negara ini,” katanya.

Justeru, Anwar menyeru semua kaum agar terus berganding bahu membantu kerajaan MADANI untuk mengatur kembali ekonomi, meningkatkan mutu pendidikan, membawa pelaburan dan menyelamatkan rakyat negara ini.

Perdana Menteri turut menzahirkan penghargaan kepada kaum India kerana memberikan sokongan padu kepadanya ketika berada dalam keadaan susah, ‘terbuang’ daripada arena politik tanah air 20 tahun lepas sehinggalah beliau kembali mengambil alih tampuk kepimpinan negara.

“Dan sekarang saya dalam keadaan untuk membawa perubahan dalam dasar. Percayalah, saya akan melakukan yang terbaik untuk membetulkannya (dasar),” kata beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here