SEOUL, 25 Julai – Pengeluar kereta terkemuka Hyundai Motor Co, pengeluar bateri terkemuka LG Energy Solution Ltd dan beberapa syarikat utama Korea Selatan yang lain berganding bahu dengan firma lebih kecil untuk mencari kaedah memaksimumkan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam industri utama.

Sebanyak 20 konglomerat Korea Selatan dalam 10 sektor utama, termasuk bidang auto, keluli, bateri, jentera dan robot, melancarkan “pakatan AI industri” pada Selasa, bersama kira-kira 400 syarikat yang lebih kecil, untuk menjayakan projek yang bertujuan memudahkan penggunaan teknologi AI, lapor Yonhap memetik kenyataan Kementerian Perdagangan, Industri dan Tenaga.

Mereka merancang menjalankan 40 projek mengenai penyelesaian AI yang antara lain berkaitan mobiliti, jentera dan pengoptimuman pengeluaran serta pelupusan sisa industri untuk mencari peraturan yang perlu dirombak bagi memperbaiki keadaan perniagaan.

“Inovasi asas adalah satu kemestian untuk respons terhadap ketidaktentuan global dan mengatasi batasan industri. Kerajaan akan memberi sokongan kepada syarikat untuk membantu meningkatkan daya saing mereka melalui teknologi berasaskan AI,” kata Naib Menteri (Pertama) Industri, Jang Young Jin.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here