KUALA LUMPUR, 10 Ogos – Kira-kira 13,000 pembayar cukai yang terdiri daripada individu serta perniagaan telah tampil di bawah Program Pengakuan Secara Sukarela (PPSS) untuk membayar dan melunaskan cukai tertunggak melibatkan hasil kutipan sebanyak RM100 juta.

Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Seri Ahmad Maslan berkata para pembayar cukai yang mempunyai tunggakan dinasihatkan untuk tidak menunggu hingga ke saat-saat akhir bagi membuat pembayaran untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

“PPSS masih berbaki 10 bulan lagi, dengan jumlah 13,000 pembayar cukai yang sudah tampil setakat dua bulan ini, kita menjangkakan program ini akan melepasi sasaran awal 50,000 pembayar cukai,” katanya kepada pemberita selepas program sesi Libat Urus Bersama Associated Zong Xiang Chamber of Commerce Malaysia di sini, hari ini.

Kerajaan menerusi Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah melaksanakan strategi perluasan hasil cukai dan kutipan secara lebih berkesan melalui PPSS yang akan bermula pada awal Jun tahun ini sehingga 31 Mei 2024.

Sebanyak RM1 bilion tambahan kutipan cukai disasarkan menerusi program itu untuk cukai langsung bagi LHDN dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) membabitkan cukai tidak langsung.

Beliau berkata, permohonan dibuka kepada pembayar cukai baharu dan sedia ada dengan manfaat pengenaan penalti pada kadar sifar peratus atau tanpa dikenakan penalti.

“Pembayar cukai dinasihatkan untuk hadir ke pejabat LHDN apabila program mula dibuka kepada mereka yang layak sebelum aktiviti audit dan siasatan iaitu prosedur biasa LHDN diambil ke atas mereka.

“Program ini dijangka membabitkan sebanyak 50,000 pembayar cukai dengan anggaran kutipan cukai berjumlah RM1 bilion,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here