SHAH ALAM, 11 Ogos — Cuti peristiwa diumumkan untuk seluruh rakyat Selangor pada Isnin ini (14 Ogos) sekiranya gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) esok, seterusnya dapat membentuk Kerajaan Negeri Selangor.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata pilihan raya pada 12 Ogos ini adalah tarikh penting dalam sejarah negeri yang bakal menentukan masa hadapan Selangor untuk tempoh lima tahun akan datang. 

“Anda mempunyai pilihan antara gabungan yang akan meneruskan kejayaan, kecemerlangan dan kemajuan negeri ataupun gabungan yang hanya berminat untuk menggunakan PRN ini untuk mencetuskan ketidakstabilan politik negara, terbukti tiada idea baharu dan tiada perancangan untuk negeri yang kita cintai ini,” katanya.

Amirudin yang juga Pengerusi PH Selangor berkata demikian semasa menyampaikan Amanat Khas Kepada Rakyat Selangor yang disiarkan melalui Facebook, Amirudin Shari. 

Beliau berkata dalam jangka masa 100 hari selepas Kemenangan Kita Selangor nanti, Kerajaan Perpaduan Selangor berjanji akan melaksanakan lima perkara yang diikhtiarkan dalam Tawaran Kita Selangor.

Ini termasuk menghargai wanita bekerja dengan pemberian RM1,000 kepada 5,000 wanita bagi mengurangkan kos penjagaan anak-anak dan melaksanakan pengecualian cukai pintu untuk rumah kampung, rumah kos rendah.

Selain itu katanya seramai 1,000 mahasiswa Selangor akan menerima baucar buku Kita Selangor bernilai RM200; kenaikan elaun imam; bilal dan siak serta seramai 500 petani, pesawah dan nelayan akan menerima Insentif Pertanian dan Perikanan Kita Selangor berjumlah RM1,000. 

“Justeru dengan penuh tawaduk saya memohon rakyat Negeri Selangor untuk memberikan kemenangan kepada Kerajaan Perpaduan di negeri ini agar kita boleh meneruskan kestabilan, kecemerlangan dan usaha bakti,” katanya.

Gabungan PH dan BN pada 31 Julai lepas melancarkan Tawaran Kita Selangor: Lima Tekad Untuk Lima Tahun Selangor yang mengandungi lima teras utama sebagai tawaran kepada rakyat Selangor sekiranya dipilih untuk menerajui negeri ini. 

Lima teras itu adalah Ekonomi Unggul dan Pendidikan Berkualiti Pemangkin Peluang Pekerjaan Berpendapatan Tinggi;  Agama Sebagai Cahaya dan Inspirasi Kehidupan Bermaruah di Selangor; Perkhidmatan Kerajaan Yang Cekap dan Efisien; Pembangunan Mampan, Selesa dan Berdaya Huni; dan Selangor Negeri Penyayang Yang Membela Kepentingan Rakyat.

Seramai 3,747,057 pengundi berdaftar akan mengundi esok bagi memilih 56 Ahli Dewan Undangan Negeri daripada 147 calon yang bertanding dalam PRN Selangor, yang berlangsung serentak dengan PRN di Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here