KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Syarikat barang kemas, Global Royalty Trading SAL dari Lubnan memohon supaya saman difailkan terhadap Datin Seri Rosmah Mansor untuk mendapatkan kembali 43 barang kemas bernilai RM67.4 juta, diputuskan melalui penghakiman terus.

Penghakiman terus adalah permohonan yang difailkan pihak yang membuat tuntutan di mahkamah untuk mendapatkan penghakiman tanpa melalui perbicaraan apabila isu berhubung fakta dalam kes terbabit atau undang-undang tidak dipertikaikan.

Syarikat terbabit memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi semalam melalui firma guaman Tetuan David Gurupatham & Koay dan memohon perintah supaya barang kemas itu dikembalikan dalam keadaan baik dalam tempoh 14 hari daripada tarikh penghakiman.

Secara alternatif, Global Royalty selaku plaintif memohon Rosmah bertanggungjawab membayar kos barang RM67.4 juta jika barang kemas berkenaan atau mana-mana bahagian daripadanya tidak boleh diperoleh semula dalam keadaan munasabah atau tidak boleh dipulihkan sepenuhnya.

Sementara itu, isteri kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu pula memohon supaya Global Royalty memberikan jaminan kos sebanyak US$1 juta (RM4.59 juta) kepada mahkamah, dan memohon saman itu dibatalkan jika syarikat terbabit gagal berbuat demikian.

Rosmah berkata jaminan kos itu perlu diberikan kerana jika beliau berjaya dalam penyataan pembelaannya berhubung tindakan saman itu dan memperoleh kos terhadap syarikat terbabit, beliau akan menghadapi kesukaran menguatkuasakan perintah kos kerana Global Royalty sebuah syarikat asing.

“Plaintif adalah sebuah syarikat yang diperbadankan dan didaftarkan di Lebanon dan mempunyai alamat di Wata el Msaitbeh, Senno Building, Lebanon. 

“Maka, plaintif adalah sebuah syarikat asing di luar bidang kuasa mahkamah ini. Malaysia tidak mempunyai sebarang perjanjian timbal balik bagi penguatkuasaan penghakiman dengan Lebanon,” katanya.

Pada 29 Mac lepas, Global Royalty menyaman Rosmah, 71, dan mendakwa wanita itu telah berbohong dengan menyatakan bahawa 44 unit barangan kemas termasuk kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara yang diserahkan oleh seorang ejen syarikat itu kepadanya telah dirampas oleh pihak berkuasa Malaysia untuk kesalahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Menurut syarikat yang berpangkalan di Beirut itu, ini kerana hanya satu daripada 44 barang kemas berkenaan berada dalam simpanan dan kawalan pihak polis, dan baki 43 barang kemas milik plaintif tidak berada dalam simpanan pihak berkuasa itu.

Plaintif mendakwa defendan telah memperdayakan plaintif dengan mengalihkan beban kepada Kerajaan Malaysia, sedangkan barang kemas itu sebenarnya telah hilang.

Pada 26 Jun 2018, Global Royalty menyaman Rosmah dan menuntutnya memulangkan kembali 44 unit barangan kemas yang dihantar kepadanya untuk dipilih atau membayar harga untuk semua barangan kemas berkenaan berjumlah US$14.79 juta, namun saman itu ditarik balik pada 2019.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here