KLANG, 18 Ogos – Kerajaan akan menyediakan bantuan yang diperlukan oleh keluarga mangsa yang terlibat dalam nahas pesawat di Elmina, Shah Alam semalam yang mengorbankan 10 nyawa.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia bagi meringankan beban keluarga, terutamanya bagi mereka yang tidak mempunyai pekerjaan tetap.

“Sekarang ini kita bagi semua bantuan yang diperlukan untuk uruskan jenazah, semua kelengkapan dan penginapan. Selain itu kerajaan berikan bantuan kepada keluarga untuk menampung (keperluan), terutama yang tidak mempunyai pekerjaan tetap bagi pihak keluarga,” katanya kepada pemberita selepas menziarahi keluarga mangsa tragedi itu di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah di sini hari ini. 

Perdana Menteri turut memaklumkan proses bedah siasat dan proses pengesanan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) terhadap 10 mangsa yang terkorban dalam nahas itu, akan dipercepat bagi memudahkan pengurusan jenazah.

“Saya ucapkan takziah kepada keluarga dan minta supaya bersabar, tiada siapa boleh jangka cuma yang dilakukan sekarang ialah mempercepatkan proses forensik dan ujian DNA.

“Sebaik selesai semua, (jenazah) akan diuruskan oleh kerajaan sama ada Majlis Agama, Kerajaan Selangor dan jabatan berkenaan. Kita akan bantu meringankan beban keluarga,” kata Perdana Menteri.

Anwar berkata beliau yang mengikuti perkembangan kes tersebut sejak semalam, bersyukur dengan kelancaran operasi yang dijalankan oleh agensi terbabit, selain meluahkan rasa bangga dan mengucapkan terima kasih kepada semua anggota terlibat.

Mengulas mengenai kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai bagi negeri Pahang, ekoran penyandangnya Datuk Seri Johari Harun, salah seorang mangsa yang maut dalam insiden tersebut, beliau berkata perkara itu akan dibincangkan kemudian.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi antara pemimpin yang hadir di lokasi yang sama di sini, bagi menziarahi waris mangsa.

Turut hadir Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Semalam, 10 lelaki disahkan maut dalam kejadian tersebut yang terdiri daripada enam penumpang dan dua kru pesawat ringan itu, manakala dua lagi merupakan orang awam masing-masing penunggang motosikal dan pemandu kereta yang lalu di tempat kejadian.

Ketika kejadian pesawat malang itu dalam penerbangan dari Langkawi ke Subang dan telah mendapat pelepasan untuk mendarat pada pukul 2.48 petang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here