KUALA LUMPUR, 18 Ogos – Lebihan dagangan Malaysia pada Julai 2023 meningkat 7.9 peratus tahun ke tahun kepada RM17.09 bilion dan lebihan dagangan yang ke-39 bulan berturut-turut sejak Mei 2020. 

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata jumlah perdagangan menyusut 14.4 peratus kepada RM216.41 bilion berikutan kesan permintaan global yang perlahan dan harga komoditi yang lebih rendah.

“Eksport berkurangan 13.1 peratus kepada RM116.75 bilion dan import turun 15.9 peratus kepada RM99.66 bilion,” katanya dalam kenyataan Perangkaan Perdagangan Luar Malaysia – Prestasi Perdagangan pada Julai 2023 yang dikeluarkan hari ini.

Prestasi perdagangan ini seiring dengan pasaran serantau lain khasnya Indonesia, China, Taiwan, dan  Korea Selatan yang turut mencatatkan pertumbuhan perdagangan negatif pada Julai 2023, katanya.

Meskipun jumlah eksport mencatatkan penyusutan, eksport bagi barangan elektrik dan elektronik (E&E) kekal kukuh manakala eksport kepada rakan dagang utama khasnya China dan Amerika Syarikat meningkat pada Julai 2023.

MITI berkata berbanding Jun 2023, import berkembang sebanyak 1.3 peratus, manakala perdagangan, eksport dan lebihan dagangan masing-masing menyusut 2.7 peratus, 5.8 peratus dan 33.1 peratus.

 Bagi tempoh Januari hingga Julai 2023, perdagangan turun sebanyak 6.1 peratus kepada RM1.505 trilion berbanding tempoh sama tahun lepas.

Eksport menyusut 5.9 peratus kepada RM820 bilion, import turun 6.5 peratus kepada RM684.65 bilion dan lebihan dagangan menguncup 2.5 peratus kepada RM135.35 bilion.

Bagi prestasi eksport sektor utama, barangan E&E mengekalkan trend peningkatan pada Julai 2023 bernilai RM50.45 bilion dan merangkumi 43.2 peratus daripada jumlah eksport, meningkat 7.3 peratus berbanding Julai 2022.

MITI berkata, eksport barangan perkilangan yang merangkumi 86.7 peratus atau RM101.25 bilion daripada jumlah eksport menyusut 9.8 peratus tahun ke tahun disebabkan permintaan rendah terhadap keluaran petroleum, barangan perkilangan berasaskan minyak sawit serta jentera, kelengkapan dan peralatan.

Eksport keluaran pertanian (6.5 peratus syer) berjumlah RM7.56 bilion, turun 28.1 peratus berbanding Julai 2022 disebabkan pengurangan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit berikutan kesan dalam penurunan harga eksport minyak sawit.

Eksport hasil galian (6.3 peratus syer) menyusut 33.6 peratus tahun ke tahun kepada RM7.34 bilion berikutan penurunan eksport gas asli cecair (LNG) dan petroleum mentah.

Barangan eksport utama lain pada Julai turut melibatkan keluaran petroleum yang menyusut 48.7 peratus dan bernilai RM9.64 bilion (8.3 peratus daripada jumlah eksport); manakala kimia dan bahan kimia merosot 9.1 peratus kepada RM5.83 bilion (lima peratus daripada jumlah eksport).

Minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit turun 34.4 peratus bernilai RM5.56 bilion, 4.8 peratus daripada jumlah eksport), barangan optik dan saintifik rendah 4.2 peratus kepada RM4.88 bilion (4.2 peratus daripada jumlah eksport).

Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, eksport keluaran pertanian dan hasil galian masing-masing mengembang sebanyak 1.8 peratus dan 6.2 peratus manakala eksport barangan perkilangan turun  6.9 peratus.

Sementara itu, bagi tempoh Januari hingga Julai 2023, eksport barangan perkilangan menyusut empat peratus kepada RM702.11 bilion berbanding tempoh sama pada 2022 berikutan eksport yang perlahan bagi barangan perkilangan berasaskan minyak sawit, barangan perkilangan logam dan keluaran getah.

Bagaimanapun, katanya eksport yang kukuh bagi barangan E&E dan keluaran petroleum telah mengimbangi kesan penurunan ini.

Eksport hasil galian menguncup 6.7 peratus kepada RM59.81 bilion berikutan eksport yang rendah bagi petroleum mentah serta petroleum kondensat dan minyak petroleum lain.

Eksport keluaran pertanian merosot 25.6 peratus kepada RM53.2 bilion disebabkan terutamanya oleh penurunan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit kerana penyusutan harga eksport minyak sawit, kata MITI.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here