KAJANG, 23 Ogos – Jabatan Penjara Malaysia mengalu-alukan kerjasama daripada universiti tempatan dalam meningkatkan kesejahteraan penghuni melalui inisiatif program seperti pendidikan dan menaik taraf fasiliti untuk anak-anak penghuni di sebalik jeriji besi itu.

Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Pengurusan) Jabatan Penjara Abd Kadir Rais berkata langkah itu kerana proses pemulihan penghuni penjara sama ada di dalam atau di luar tembok penjara memerlukan penglibatan daripada masyarakat untuk dijayakan.

“Justeru, kerjasama semua pihak termasuk badan kerajaan, agensi swasta, syarikat GLC, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat adalah penting dalam menyokong serta membantu menyediakan peluang pekerjaan kepada banduan,” katanya.

Abd Kadir berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Projek Mencorak Masa Depan Menaik Taraf Kemudahan Fasiliti Bagi Meningkatkan Kesejahteraan Anak-Anak Penghuni Penjara Wanita Kajang (C.I.N.T.A CARE) di Penjara Wanita Kajang di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Emeritus Datuk Dr Mohamad Abd Razak.

Projek berkenaan merupakan kerja menaik taraf kemudahan fasiliti kanak-kanak di dalam Penjara Wanita Kajang yang dilaksanakan dengan kerjasama Pusat Perhubungan Alumni UKM.

Sementara itu, menurut Abd Kadir, projek C.I.N.T.A CARE ini memberi impak besar kepada kesejahteraan dan perkembangan anak-anak yang dilahirkan di dalam penjara.

Katanya, menerusi penyediaan persekitaran yang kondusif serta ruang dan peralatan yang sesuai untuk kanak-kanak, ia memberi peluang kepada setiap anak untuk berkembang secara optimum.

Untuk rekod, terdapat dua kanak-kanak perempuan dan tiga kanak-kanak lelaki berusia antara dua hingga tiga tahun berada di penjara berkenaan.

Selain itu, Mohamad berkata program C.I.N.T.A CARE julung kali diadakan oleh pihak UKM dan Jabatan Penjara.

Beliau berkata pihaknya terbuka untuk menjalin kerjasama yang lain bersama Jabatan Penjara termasuk rawatan dan pendidikan kepada kanak-kanak yang berada di dalam penjara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here