KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Pemain perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia mempamerkan satu lagi prestasi baik pada Kejohanan Dunia 2023 di Copenhagen, Denmark, manakala Ng Tze Yong terkandas.

Zii Jia, yang berada di ranking ke-13 dunia, memastikan tempat ke pusingan 16 terakhir selepas mengatasi pemain Kanada Brian Yang 21-11, 21-16 pada pusingan kedua selepas pertarungan selama 33 minit di Royal Arena.

Bagaimanapun, perjuangan Tze Yong pada penampilan kedua di Kejohanan Dunia pula terhenti seawal pusingan kedua selepas tewas kepada pilihan ke-12, Anders Antonsen dari Denmark dengan keputusan 22-24, 16-21 sekali gus memusnahkan harapan untuk pertembungan dua wakil Malaysia pada pusingan 16 terakhir.

Zii Jia akan berdepan Antonsen dalam pertarungan untuk ke slot suku akhir, hari ini.

Sementara itu, beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik memulakan usaha mempertahankan kejuaraan dengan goyah sebelum bangkit daripada ketinggalan satu set untuk menyingkirkan tuan rumah Jeppe Bay-Lasse Molhede yang berada di ranking ke-31 dunia dengan keputusan 18-21, 21-14, 21-16 dalam aksi selama 54 minit.

Gandingan yang berada di kedudukan keempat dunia itu, yang mendapat ‘bye’ pada pusingan pertama seterusnya akan bertemu pilihan ke-14, Lee Yang-Wang Chi Lin dari Taiwan. 

Gandingan wanita Vivian Hoo-Lim Chiew Sien pula terpaksa akur kepada beregu dari Jepun, Yuki Fukushima-Sayaka Hirota yang berada di kedudukan kelima dunia dengan keputusan 21-11, 21-14.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here