PUTRAJAYA, 6 Sept – Arahan penggantungan import ternakan hidup lembu dan kerbau dari Australia ditarik balik berkuat kuasa serta-merta, kata Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS).

DVS dalam kenyataan hari ini berkata keputusan itu adalah hasil daripada perkongsian laporan penuh siasatan oleh Department of Agriculture, Fisheries and Forestry (DAFF), Australia selepas mengadakan dua sesi perbincangan teknikal bersama DVS.

“DVS menghargai keterbukaan DAFF dalam membantu proses penyelesaian isu ini,” kata DVS yang turut berharap keputusan menarik semula sekatan import itu memberi kelegaan kepada industri dan rakyat Malaysia.

Malaysia mengenakan tindakan menggantung sementara pada 4 Ogos lepas sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya dakwaan pihak berkuasa Indonesia mengenai penemuan tanda-tanda jangkitan Lumpy Skin Disease (LSD) pada lembu yang diimport dari Australia adalah benar, memandangkan Malaysia turut mengimport lembu dan kerbau dari negara berkenaan.

DVS berkata para pengimport ternakan lembu dan kerbau dari Australia perlu mengemukakan surat permohonan import dari DVS sebelum membuat permohonan permit.

“DVS juga ingin menegaskan bahawa semua pengimportan ternakan hidup adalah mengikut SOP yang telah ditetapkan bagi memastikan setiap konsainan yang diimport menjalani proses pemantauan yang rapi,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here