KUALA LUMPUR, 19 Sept – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang mengkaji semula perundangan e-dagang sedia ada serta akan mencadangkan mekanisme kawal selia bersesuaian bagi memastikan kebajikan pemain industri dan pengguna terjamin.

Timbalan Menterinya Fuziah Salleh berkata kajian berkenaan membabitkan Akta Perdagangan Elektronik 2006, Akta Perlindungan Pengguna 1999 serta Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Urus Niaga Perdagangan Elektronik) 2012.

Beliau berkata KPDN akan bekerjasama dengan penyedia platfom e-dagang, pemain industri, persatuan pengguna dan pakar dalam memperkemaskan lagi akta tersebut. 

“Setakat ini, undang-undang untuk mengawal selia barangan di platform e-dagang memang tiada, malah tiada undang-undang yang melarang atau memaksa dan menuntut penjual di platform tersebut memastikan barangan yang mereka tawarkan itu wujud.

“Selain itu, penyedia perkhidmatan juga tidak boleh mengambil tindakan kepada penjual jika apa-apa masalah berlaku,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan  seminar Today’s Malaysian E-Commerce and Consumer Protection Regulatory Framework: The Way Forward di sini hari ini.

Fuziah berkata seiring dengan perkembangan sektor e-dagang, terdapat beberapa cabaran yang dihadapi pengguna kini. 

Menurutnya ini termasuk adalah barangan yang dibeli dalam talian tidak sampai atau tidak memenuhi kehendak pelanggan, standard keselamatan produk tidak mengikut piawaian ditetapkan, serta dark pattern iaitu teknik tidak beretika dilakukan peniaga dalam talian untuk mempengaruhi dan mengelirukan pengguna.

“KPDN menerima peningkatan bilangan aduan khususnya melibatkan transaksi dalam talian. Hingga 31 Ogos lepas, sejumlah 10,377 aduan atau 35 peratus daripada jumlah keseluruhan aduan merupakan kes aduan transaksi dalam talian,” katanya. 

Beliau berkata aduan tertinggi yang diterima adalah daripada platform e-dagang Shopee, diikuti Facebook dan Instagram.

Selain itu, Fuziah turut memaklumkan pihaknya turut menerima aduan mengenai penjual dalam talian yang menawarkan barangan keperluan asas seperti beras, gula, minyak paket melebihi harga kawalan dan telah dimaklumkan kepada penguat kuasa untuk menyiasat serta mengambil tindakan.

Terdahulu, seminar berkenaan diadakan bertujuan memberi pendedahan kepada peserta mengenai kedudukan semasa sektor e-dagang di Malaysia dan trend di peringkat antarabangsa, serta mengkaji kaedah dan amalan terbaik pengawal seliaan industri e-dagang di negara lain untuk diadaptasi di negara ini.

Seminar yang berlangsung hingga esok itu dihadiri wakil kementerian dan agensi kerajaan, pemain industri serta pihak berkepentingan yang berkaitan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here