KUALA LUMPUR, 19 Sept – Smart Nation Expo 2023 yang bermula hari ini hingga Khamis, merupakan platform penting untuk pengenalan teknologi dan penyelesaian digital baharu seperti kecerdasan buatan (AI) dan Web 4.0.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata ini kerana ekonomi digital telah menjadi satu daripada industri yang paling pesat berkembang dan penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

“Pada masa ini, ia menyumbang sebanyak 22.6 peratus kepada KDNK Malaysia dan dijangka meningkat kepada 25.5 peratus menjelang 2025,” katanya pada majls perasmian ekspo itu di sini hari ini.

Teks ucapan Fadillah dibacakan oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Arthur Joseph Kurup yang mewakili beliau pada acara itu.

Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata untuk menyokong agenda transformasi digital, kerajaan memperkenalkan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia dan Pelan Induk Perindustrian Baharu untuk mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi dan peluang perniagaan kepada rakyat Malaysia.

“Dengan pelancaran rangkaian 5G di landasan betul untuk mencapai sasaran 80 peratus liputan rangkaian di kawasan berpenduduk menjelang hujung tahun ini, semua sektor ekonomi termasuk pertanian, pembuatan, perkhidmatan kewangan, pembinaan, penjagaan kesihatan, pengangkutan, keselamatan, pendidikan dan perkhidmatan kerajaan, akan dapat mempercepat program transformasi digital mereka,” katanya.

Diadakan serentak dengan EVM Asia Expo, pameran berkaitan kenderaan elektrik, mobiliti, pembuatan dan alat ganti, Fadillah juga menyatakan keyakinannya bahawa acara itu akan dapat menggalakkan kerjasama baharu dan menjana pelaburan di rantau ini.

Ekspo yang memaparkan 584 pempamer dari 23 negara akan menampilkan teknologi pintar untuk sektor utama ekonomi termasuk kerajaan, pertanian, pembuatan, pengangkutan dan e-mobiliti, pendidikan, penjagaan kesihatan, pembinaan, tenaga, keselamatan dan komunikasi.

Pada acara tiga hari itu, lebih 500 delegasi dan 38 penceramah akan menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin Ekonomi Digital, Sidang Kemuncak Bandar Pintar Asia dan Forum Kenderaan Elektrik dan Mobiliti Asia untuk mengetahui perkembangan terkini dalam bidang digital dan e-mobiliti.

Selain itu, 1,000 orang dijangka menghadiri 66 ceramah teknologi yang diadakan serentak dengan ekspo itu, manakala lebih 100 sesi padanan perniagaan diatur untuk memudahkan perniagaan antara syarikat tempatan dengan antarabangsa.

AMB Tarsus Events Group merupakan penganjur acara itu dan bekerjasama dengan beberapa kementerian termasuk Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Komunikasi dan Digital serta Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan.

Ekspo itu juga mendapat sokongan daripada agensi seperti Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB) dan Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here