MELAKA, 27 Okt – Sebanyak 68 peratus atau 2,115 daripada 3,378 penerima diploma, ijazah dan doktor falsafah (PhD) pada Majlis Konvokesyen Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) ke-19 bulan depan adalah graduan bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Majlis konvokesyen itu di Dewan Canselor kampus induk unversiti bverkenaan akan diadakan dari 4 hingga 6 Nov ini.

Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Dr Massila Kamalrudin berkata daripada jumlah itu, sebanyak 2,478 adalah graduan Ijazah Sarjana Muda yang mempunyai sekurang-kurangnya satu pensijilan profesional melibatkan 25 kursus profesional tahap tinggi.

Beliau berkata pencapaian berkenaan membuktikan UTeM terus memacu pemerkasaan TVET aras tinggi sekali gus menjadikan Melaka sebagai hab pendidikan TVET yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri.

“Setiap pelajar UTeM wajib mempunyai satu pensijilan profesional dan UTeM akan usahakan inisiatif ini walaupun terdapat kekangan kewangan, menerusi pelbagai program dengan pihak industri dan badan profesional.

“Usaha ini bagi memberi nilai suntikan kebolehpasaran tinggi dalam kalangan graduan UTeM sekali gus memastikan mereka mendapat peluang pekerjaan yang sesuai dengan bidang dipelajari,” katanya pada sidang media mengenai konvokesyen itu di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata kadar kebolehpasaran graduan UTeM pada tahun lepas adalah sebanyak 96.4 peratus dan meletakkan UTeM antara kedudukan tertinggi dalam rangkaian 20 universiti awam negara serta mendapat tempat dalam industri tempatan dan luar negara.

Sementara itu, katanya sebanyak sembilan anugerah khas industri yang ditaja industri bertaraf global antaranya Infineon Technologies, Xinyi dan Onsemi akan diberikan kepada graduan terpilih pada majlis konvokesyen itu.

Massila berkata majlis konvokesyen yang berlangsung selama tiga hari itu melibatkan 505 graduan diploma, ijazah sarjana muda (2,618 orang), ijazah sarjana (151 orang), ijazah doktor kejuruteraan (empat orang) dan PhD (100 orang).

Beliau berkata majlis berkenaan akan berlangsung dalam enam sesi dan antara anugerah yang akan disampaikan ialah Anugerah Pelajar Diraja, Hadiah Canselor dan Sagu Hati Huffaz Profesional.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here