KUALA LUMPUR, 27 Okt – Penyedia perkhidmatan rawatan dan pemulihan digalakkan menerokai kaedah baharu yang boleh meningkatkan keberkesanan pemulihan termasuk penggunaan aplikasi telefon pintar.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kaedah itu antara lain, dapat memberi sokongan kepulihan dengan menyediakan maklumat mengenai tracking sobriety, mekanisme daya tindak menghadapi relaps dan menjalinkan pengguna dengan kumpulan sokong bantu.

“Kita seharusnya tidak mengetepikan hak klien untuk mendapat rawatan dan pemulihan pada bila-bila masa dan di mana jua mereka berada. Selain itu, penggunaan aplikasi seperti tele-kaunseling, sokongan kumpulan secara maya dan forum dalam talian (boleh diterokai),” katanya.

Saifuddin Nasution berkata demikian dalam teks ucapan yang dibaca Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Abdul Halim Abdul Rahman pada Program Simposium Sains Penagihan Dadah Kebangsaan 2023 di sini hari ini.

Beliau berkata penggunaan peranti boleh pakai seperti jam tangan pintar dan penjejak kecergasan juga boleh digunakan untuk memantau tanda-tanda vital dan aktiviti fizikal seseorang selain datanya digunakan untuk menilai dan memantau tahap kesihatan dan risiko penagih dadah untuk relaps.

Menurut Saifuddin Nasution, penggunaan peralatan biomaklumbalas dan Functional MRI (fMRI) pula boleh memberi gambaran objektif tentang impak sesuatu intervensi yang dilaksanakan terhadap klien iaitu dari segi tindak balas dan perubahan fisiologi badan.

“Perubahan ini boleh diukur dan dipantau secara berterusan sepanjang klien mengikuti program rawatan dan pemulihan. Sekiranya berlaku perubahan positif, maka intervensi tersebut boleh diteruskan namun jika berlaku sebaliknya, pengubahsuaian perlu dibuat terhadap modul intervensi yang digunakan,” katanya.

Beliau juga menggalakkan kajian dalam bidang pharmacogenomics pada masa hadapan untuk memberi maklumat genetik dan risiko kemungkinan penglibatan individu dalam penggunaan dadah bagi memudahkan penyediaan rancangan pemulihan yang bersesuaian dan berkesan.

Saifuddin Nasution berkata pada masa ini, realiti maya (VR) juga telah digunakan sebagai satu daripada teknologi terkini yang dapat memberi pendedahan serta mekanisme rawatan dan pemulihan penagihan dadah yang baharu.

“Antara dapatan kajian lepas adalah simulasi VR yang berulang boleh mengurangkan tindak balas psikofisiologi mengenai rasa gian terhadap dadah dalam kalangan responden,” katanya.

Terdahulu, Abdul Halim turut merasmikan Tabung Kemanusiaan Palestin Perkhidmatan Awam KDN dalam program berkenaan.

Turut hadir Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan Sutekno Ahmad Belon dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Seri Mohd Kamaruddin Md Din.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here