ALOR SETAR, 20 Nov – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah membentuk Pasukan Gerak Cepat Monsun Timur Laut (MTL) yang akan ditempatkan di beberapa zon tertentu sebagai persiapan bagi menghadapi kemungkinan bencana banjir besar di seluruh negara.

Ketua Pengarah JPBM Datuk Seri Abdul Wahab Mat Yasin berkata pasukan itu juga bakal dilengkapi dengan pelbagai aset khas dan jika perkhidmatan mereka diperlukan, ia akan terus digerakkan ke lokasi kejadian.

“Sebagai contoh di Zon Pantai Timur, pasukan ini ditempatkan di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wakaf Tapai di Terengganu manakala pasukan Zon Selatan, ditempatkan di Balai Bomba dan Penyelamat Kluang, Johor.

“Bagi Zon Utara, pasukan itu akan ditempatkan di Pangkalan Udara JBPM Bertam, Pulau Pinang manakala di Zon Borneo, mereka ditempatkan di Miri, Sarawak. Pasukan ini akan membantu pemindahan mangsa yang terkepung akibat banjir,” katanya ketika diminta mengulas persediaan JBPM di beberapa negeri yang dijangka mengalami banjir susulan MTL.

Beliau ditemui pemberita pada Majlis Perkhidmatan Cemerlang 2022, Pingat Perkhidmatan serta Sijil 30 Tahun Perkhidmatan JBPM Kedah yang menyaksikan 61 pegawai menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, 45 menerima Pingat Perkhidmatan dan 29 menerima Sijil 30 Tahun Perkhidmatan.

Abdul Wahab juga berkata JPBM memiliki sembilan pesawat pelbagai jenis yang akan digunakan untuk memindahkan mangsa banjir dan menghantar bekalan makanan ke lokasi diperlukan khususnya di pedalaman.

“Kita juga telah bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan. JBPM bukan hanya membantu menghantar pesakit ke hospital jika berlaku kecemasan malah kami juga bersedia menerbangkan doktor dan jururawat ke lokasi yang diperlukan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan masyarakat terutama golongan warga emas, individu yang kurang sihat, ibu mengandung dan kanak-kanak untuk berpindah secepat mungkin jika terdapat tanda-tanda bakal berlaku banjir di kawasan kediaman mereka.

“Seluruh negara sekarang ada 5,648 lokasi panas banjir yang telah dikenal pasti dan di Kedah sahaja ada 259 lokasi panas tetapi kita telah bersedia sekiranya berlaku hujan yang luar biasa selain membuat rondaan di kawasan berkenaan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here