KUALA LUMPUR, 22 Nov – Majikan diingatkan supaya tidak mengambil kesempatan memberhentikan pekerja wanita mereka yang mengambil cuti bersalin atau cuti sakit disebabkan kehamilan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Mustapha Sakmud berkata larangan itu termaktub di bawah Akta Kerja 1955 dan mana-mana majikan yang tidak mematuhi peraturan itu boleh dikenakan tindakan.

“Di bawah Seksyen 41 A (1) Akta Kerja 1955, majikan tidak boleh memberi notis penamatan kerja atau memberhentikan pekerja wanita yang hamil atau sakit kerana kehamilan kecuali atas beberapa keadaan iaitu akibat salah laku (pekerja) dan majikan menutup operasi.

“Majikan boleh didakwa serta dikompaun jika gagal mematuhi peraturan itu,” katanya semasa menjawab soalan tambahan Dr Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) mengenai tindakan terhadap majikan memberhentikan pekerja wanita yang cuti bersalin atau hamil dengan menggantikan petugas baharu.

Sementara itu, Mustapha turut mendedahkan sebanyak 44 kes aduan pelanggaran peraturan cuti bersalin 98 hari oleh majikan direkodkan sehingga 31 Okt lepas dengan 28 daripadanya adalah aduan berasas manakala baki 16 aduan tidak berasas.

“Bagi aduan yang berasas, majikan terlibat telah diberikan peringatan serta tindakan pembetulan telah diambil dan semua kes tersebut telah diselesaikan melalui pematuhan majikan dengan pemberian kelayakan tempoh cuti bersalin selama 98 hari kepada pekerja,” katanya.

Beliau berkata bagi tempoh sama, Kementerian Sumber Manusia dengan agensinya melaksanakan 23,279 pemeriksaan berkanun di tempat kerja.

Mustapha menjelaskan perkara itu semasa menjawab soalan asal M.Kulasegaran (PH-Ipoh Barat) mengenai langkah kerajaan bagi memastikan semua majikan termasuk majikan daripada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (SME) mematuhi polisi cuti bersalin yang dilanjutkan kepada 98 hari mulai 1 Jan 2023 dan bilangan majikan yang gagal mematuhi peraturan itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here