PUTRAJAYA, 1 Dis – Pelaksanaan Identiti Digital Nasional atau Digital ID akan memastikan perlindungan data peribadi dan keselamatan siber sentiasa terkawal selain memudah cara perkhidmatan awam dan swasta, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Beliau berkata pelaksanaan Digital ID juga tidak memerlukan perakaman biometrik seperti cap jari, pengecaman wajah atau iris pengguna, dan pendaftaran Digital ID hanya memerlukan MyKad serta imbasan cap jari untuk kesahihan, sama seperti pengguna menjalankan urusan di bank.

“Pengguna hanya perlu memuat turun aplikasi ‘MyDigital ID’ dan mengimbas kod QR bagi mencipta ‘MyDigital ID’ dalam telefon bimbit. Jadi tak ada nak rakam atau tanam cip (dalam badan),” katanya kepada media selepas membuat pendaftaran Digital ID sebelum menghadiri mesyuarat Kabinet, di sini hari ini.

Katanya Digital ID memberi akses kepada perkhidmatan awam dari segi bantuan serta semua aplikasi kerajaan dengan mennggunakan ‘single log in‘ atau log masuk tunggal menerusi MyDigital ID.

“Maksudnya dengan adanya MyDigital ID ini kalau kita buka MyJPJ, MyJalan, (kemudian) kita pergi ke LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri) – tak payah nak ingat kata laluan lagi, semua akan guna satu log masuk sahaja.

“Itulah sebenarnya manfaat paling besar apabila kita gunakan MyDigital ID, lebih pantas. Di pihak kerajaan pula dan juga mana-mana pihak yang ingin menggunakan MyDigital ID, ada penjimatan sebab tak payah bina apa yang disebut sebagai pangkalan data komponen e-KYC (electronic Know Your Customer). Semua akan rujuk dengan Jabatan Pendaftaran Negara,” katanya.

Fahmi berkata pihaknya menyasarkan 1.6 juta pengguna Digital ID iaitu kebanyakannya penjawat awam, memandangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyarankan mereka berbuat demikian sebagai permulaan.

Beliau berkata walaupun terdapat kelonggaran pada peringkat awal untuk tidak perlu mendaftar dengan Digital ID bagi mendapatkan bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR), namun pada masa akan datang terdapat keperluan dan kewajaran untuk mendaftar, kerana ia memudahkan banyak proses, di samping menimatkan kerajaan dan memudahkan rakyat.

Pada 21 Nov lepas, pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) gunaan nasional MIMOS Bhd dilantik kerajaan sebagai agensi pelaksana program Digital ID dengan peruntukan awal RM80 juta.

Digital ID merupakan suatu bentuk pengenalan diri individu secara digital yang bakal dimanfaatkan sektor awam dan swasta, untuk mengesahkan identiti pengguna semasa melakukan transaksi dalam talian.

Tanpa menggantikan sistem MyKad, Digital ID merupakan platform yang dipercayai dan selamat, serta memudahkan pengesahan identiti bagi mengelakkan penipuan identiti dalam urusan secara dalam talian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here