PUTRAJAYA, 2 Dis – Syarikat yang memproses data peribadi dan tersenarai dalam 13 Golongan Pengguna Data, wajib berdaftar dengan Pejabat Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi (PDP) di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709).

Golongan pengguna data yang wajib berdaftar adalah komunikasi (telekomunikasi dan kurier), perbankan dan institusi kewangan, insurans, kesihatan (hospital swasta, farmasi, klinik perubatan dan klinik pergigian), pelancongan dan hospitaliti (hotel dan agensi pelancongan), pengangkutan (syarikat penerbangan).

Pendidikan (sekolah swasta dan institusi pendidikan tinggi), jualan langsung perkhidmatan (perniagaan runcit dan borong, agensi pekerjaan swasta, undang-undang, audit, perakaunan, kejuruteraan dan arkitek), hartanah, utiliti (elektrik dan air), pajak gadai dan pemberi pinjam wang.

Pesuruhjaya PDP Prof Dr Mohd Nazri Kama dalam kenyataan hari ini berkata syarikat yang tidak termasuk dalam Golongan Pengguna Data tersebut tetapi memproses data peribadi dalam transaksi komersial, juga wajib mematuhi Akta 709.

“Selain mewujudkan repositori Pengguna Data di Malaysia, pendaftaran membolehkan Pejabat Pesuruhjaya PDP memaklumkan sebarang perubahan dasar dan memberikan khidmat nasihat berkenaan perlindungan data peribadi,” katanya.

“Ini seterusnya dapat meningkatkan tahap pematuhan syarikat terhadap perlindungan data peribadi dan secara langsung meningkatkan keyakinan pelanggan terhadap syarikat,” katanya.

Mohd Nazri berkata kegagalan membuat pendaftaran dengan Pejabat Pesuruhjaya PDP adalah tertakluk di bawah kesalahan Seksyen 16(4) Akta 709 dan boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Beliau berkata permohonan bagi pendaftaran sebagai pengguna data boleh dibuat melalui daftar.pdp.gov.my atau hadir ke kaunter pengguna data di Aras 6, Pejabat Pesuruhjaya PDP, Kompleks KKD di Putrajaya.

Bayaran fi pendaftaran dikenakan secara tahunan antara RM100 dan RM400 mengikut jenis perniagaan.

Semakan boleh dibuat melalui pautan https://www.pdp.gov.my/jpdpv2/akta-709/perundangan-subsidiari/perintahperlindungan-data-peribadi-golongan-pengguna-data/ atau https://www.pdp.gov.my/jpdpv2/akta-709/perundangan-subsidiari/perintah-pindaan2016/

Sebarang pertanyaan lanjut mengenai pendaftaran boleh menghubungi Seksyen Pendaftaran, Pejabat Pesuruhjaya PDP di talian 03-89117909 / 7919 / 5357 / 5901 / 5113 / 7802 / 5887 / 5886 / 5288.

“Pejabat Pesuruhjaya PDP komited untuk memperkukuhkan pematuhan terhadap Akta 709 bagi menangani isu ketirisan data peribadi dan penyalahgunaan data di Malaysia,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here