SUBANG JAYA, 7 Dis – Cadangan Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (PRIMAS) supaya kerajaan membenarkan pengambilan pekerja asing gantian akan dibincangkan dalam jawatankuasa bersama Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Kementerian Kewangan (MOF).

Menteri Sumber Manusia, V.Sivakumar berkata melalui cadangan itu, PRIMAS berharap pekerja asing yang telah diluluskan dapat digantikan dengan pekerja asing lain apabila pekerja asing asal itu tidak dapat menamatkan tempoh bekerja mereka di negara ini.

“Antara sebab-sebab yang dikenal pasti adalah mungkin (pekerja asing asal) tidak lagi berminat kerja di sini atas desakan-desakan tertentu ataupun ada apa-apa isu dari negara sumber yang menyebabkan dia terpaksa dihantar pulang ke negara tersebut,” katanya, di sini hari ini.

Sivakumar berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-23 PRIMAS di Dorsett Grand Subang, di sini hari ini.

Sementara itu, katanya, kementeriannya akan mengambil tindakan tegas terhadap majikan yang membawa pekerja asing ke Malaysia dari negara sumber namun tidak memberikan mereka pekerjaan apabila tiba di negara ini.

Katanya, beliau telah mengarahkan  Jabatan Tenaga Kerja untuk mengenal pasti majikan-majikan yang terlibat seterusnya mengambil tindakan tegas termasuk membawa kes ke mahkamah sekiranya terbukti ada majikan berbuat demikian.

“Saya memandang serius tentang perkara ini…sebab bagi saya ini adalah sangat penting untuk memastikan imej negara tidak terjejas,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here