DUBAI, 7 Dis – Malaysia menekankan kepentingan peralihan daripada ekonomi linear kepada ekonomi kitaran dalam pengurusan sisa pada mesyuarat peringkat menteri berhubung Perbandaran dan Perubahan Iklim di Persidangan Pihak-Pihak ke-28 (COP28) di sini.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, yang mempengerusikan bersama mesyuarat itu, berkata penubuhan Majlis Ekonomi Kitaran Nasional Malaysia akan menyelia pelaksanaan dan kemajuan sektor ekonomi yang sedang pesat membangun ini.

“Malaysia giat melaksanakan inisiatif berimpak tinggi untuk mengurangkan jumlah sisa pepejal seperti Pusat Kitar Semula Pandu Lalu apabila orang ramai boleh menukar sampah kepada insentif tunai.

“Teknologi sisa kepada tenaga juga merupakan penyelesaian yang berdaya maju untuk Malaysia mengurangkan sisa pepejal,” katanya.

Menurut Nga, mobilisasi yang lemah dan kekurangan ketelusan dalam pembiayaan iklim menghalang negara membangun daripada mencapai inisiatif mitigasi dan adaptasi.

“Ini adalah masalah global yang memerlukan komitmen global untuk segera merangka pelan peralihan untuk menggunakan tenaga boleh baharu dan membantu membiayai negara-negara yang mudah terjejas.

“Malaysia mengulangi kenyataan mengenai kepentingan ketelusan dan mobilisasi segera dana kerosakan dan kerugian untuk memperkasakan sepenuhnya bandar dan kerajaan tempatan yang mudah terjejas, untuk berada di barisan hadapan (memerangi) krisis iklim ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here