MIRI, 6 Feb – Kementerian Kerja Raya (KKR) akan menaik taraf Bulatan Pujut 3 dan Jalan Bulatan Puchong-Sungai Lutong untuk mengatasi masalah kesesakan trafik di sepanjang jajaran terlibat yang mengalami kerancakan pembangunan.

Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata projek berkenaan melibatkan kerja menaik taraf Bulatan Pujut 3 kepada persimpangan lampu isyarat dan pelebaran jalan dari Bulatan Saberkas/Pujut ke Persimpangan Pujut 7 daripada laluan berkembar empat lorong kepada enam lorong sepanjang tiga kilometer (km).

“Bulatan sedia ada tidak dapat menampung jumlah trafik yang meningkat kerana jalan ini berfungsi sebagai jalan arteri utama bagi penduduk dari Lutong, Tudan, Permyjaya, Senadin, Kuala Baram, Brunei dan Limbang untuk menuju ke bandar raya Miri,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Bulatan Pujut 3 yang terletak kira-kira 7km dari pusat bandar raya Miri hari ini.

Menurut Nanta banci trafik bagi jalan itu pada Januari 2022 merekodkan sebanyak 65,799 kenderaan melalui jalan berkenaan dari 6 pagi hingga 10 malam.

Beliau berkata projek itu telah mendapat kelulusan kerja awalan di bawah peruntukan Rolling Plan Keempat (RP4) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) dengan skop kerja yang diluluskan adalah kerja ukur tanah dan penyiasatan tanah dengan kos anggaran RM1.23 Juta.

Beliau berkata sekiranya kerja awalan itu dapat disiapkan lebih awal, permohonan peruntukan akan dibuat sebelum pembentangan Bajet 2025 pada Oktober nanti bagi membolehkannya dilaksanakan pada tahun hadapan.

Terdahulu Nanta turut turun padang melihat kemajuan pelaksanaan dan perancangan infrastruktur jalan Persekutuan di Miri bagi memastikan jaringan perhubungan darat di Miri sentiasa berada dalam keadaan yang selesa dan selamat.

Beliau berkata jumlah panjang jalan Persekutuan di Bahagian Miri yang disenggara oleh syarikat konsesi ialah 85.76 km dengan 44.03 km dikategorikan sebagai jalan protokol manakala 41.73 km adalah jalan primer.

KKR menyediakan anggaran peruntukan sebanyak RM2.8 juta setahun bagi melaksanakan penyenggaraan rutin jalan Persekutuan di Miri dan pada tahun lepas syarikat konsesi telah melakukan sebanyak 209 kerja penampalan jalan di bawah kerja-kerja penyenggaraan rutin.

Nanta berkata peruntukan penyenggaraan sebanyak RM4.6 juta yang melibatkan tiga lokasi telah diluluskan untuk dilaksanakan segera pada tahun ini bagi membaiki pavemen (turapan) jalan yang rosak akibat faktor usia dan berada pada tahap kritikal di bawah program penyenggaraan berkala pavemen.

KKR juga telah meluluskan sejumlah RM800,000 bagi pelaksanaan penyenggaraan berkala bukan pavemen yang melibatkan empat lokasi dan sejumlah RM300,000 bagi melaksanakan kerja-kerja pembaikan kecil Jambatan Sungai Lutong.

Bagi mengatasi isu berbangkit berkaitan penyenggaraan lampu jalan dan lampu isyarat, KKR telah meluluskan sejumlah RM500,000 bagi pembayaran bil lampu jalan/lampu isyarat dan sejumlah RM300,000 bagi penyenggaraan lampu isyarat.

Nanta turut meninjau lokasi cadangan Pakej Kuala Baram ke Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan Sungai Tujoh yang merupakan satu daripada tiga pakej Projek Lebuhraya Trans Borneo (LTB) bagi menambah baik jaringan jalan Persekutuan di antara sempadan Miri, Limbang dan Lawas ke Brunei.

Seterusnya beliau meninjau prestasi kemajuan kerja pembinaan Pakej Kerja (WPC11) iaitu Sungai Tangap ke Jalan Pujut Link, Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak khususnya pembinaan jejambat di Seksyen Lambir.

Kemajuan kerja WPC11 kini 97.45 peratus siap dan secara keseluruhannya projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak dari Telok Melano ke Miri dijadual siap pada April nanti.

Beliau menjelaskan kerja-kerja melibatkan reka bentuk semula pembinaan jejambat pula telah bermula pada November tahun lepas dan dijangka siap pada suku keempat 2025, namun tidak akan menjejaskan keselesaan pengguna jalan raya kerana masih boleh menggunakan jalan sedia ada.

Beliau menambah permohonan bagi pelaksanaan kerja-kerja penyenggaraan cerun di Laluan1/79A Miri Airport Junction/Puchong Roundabout berjumlah RM700,000 telah diluluskan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here