PUTRAJAYA, 1 Mac – Kerajaan disaran mewajibkan 70 peratus pembelian barangan bagi program bantuan rasmi kerajaan seperti kotak banjir, bakul makanan dan Jualan Rahmah adalah terdiri daripada produk halal milik bumiputera.

Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) Datuk Dr Ameer Ali Mydin berkata saranan itu, antara yang dikemukakan pada Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024, adalah bagi membantu syarikat atau premis perusahaan halal milik bumiputera di Malaysia.

Beliau berkata ini kerana setakat Disember lepas, sebanyak 38.7 peratus atau 3,562 daripada 9,162 jumlah keseluruhan syarikat halal adalah milik bumiputera namun hampir keseluruhan premis perusahaan kategori itu berada di belakang rumah yang tidak memenuhi syarat pensijilan halal.

“Pemilik perusahaan terlalu bergantung kepada hasil sara diri bagi membolehkan aktiviti perniagaan harian. Pada masa sama, kita tahu bahawa kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan banyak menyalurkan bantuan.

“Jadi, kita perlu menjadikan ia sebagai satu dasar, barang bumiputera diberikan sebagai pilihan pertama (untuk program bantuan rasmi kerajaan),” katanya.

Ameer turut mengesyorkan agar menyediakan dana pembiayaan khusus seperti pendanaan awam atau wakaf untuk menambah baik perusahaan bumiputera.

KEB 2024, yang berlangsung hari ini hingga 2 Mac di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, dijangka mencungkil potensi teknologi dan peluang baharu bidang ekonomi bagi memperkasakan bumiputera.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here