MELBOURNE, 4 Mac – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan lawatan rasmi ke Australia pada Isnin dengan berkongsi pandangan bersama penuntut Kolej Al-Taqwa di sini mengenai kepentingan ilmu, kebijaksanaan, nilai-nilai murni dan tingkah laku beretika ke arah mencapai perubahan positif.

Beliau berkata perkara itu bermula dengan diri sendiri selain berpegang teguh kepada ajaran Islam yang menganjurkan pembangunan peribadi dan kekuatan moral sebagai antara langkah ke arah transformasi masyarakat yang lebih luas.

“Berikan kredit kepada idealisme anda terhadap penindasan, rasuah dan salah guna kuasa. Anda mahukan lebih banyak keadilan dan belas kasihan selain ingin menghentikan ketidaksamaan,” katanya ketika melawat dan melancarkan Kompleks Sukan Kolej Al-Taqwa di Truganina di sini.

Anwar, yang terkenal dengan gaya kepimpinan penuh prihatin dan bertimbang rasa beliau, berkata adalah penting bagi para pemimpin Islam untuk menunjukkan teladan dari segi keadilan, toleransi serta rasa hormat bagi mewakili identiti mereka.

Beliau turut menasihati generasi muda agar memulakan perjalanan ke arah memajukan diri sendiri dan menimba ilmu sebagai asas kepimpinan yang berkesan.

Beliau turut menekankan kepentingan mengekalkan perwatakan baik dan nilai-nilai mulia yang penting dalam usaha memerangi gejala rasuah serta salah guna kuasa.

Anwar dalam ucapan beliau turut menyentuh isu antarabangsa termasuk konflik di Palestin dan mengutuk kemunafikan respons masyarakat antarabangsa terhadap krisis itu.

Beliau juga mengulangi pendirian Malaysia yang memperjuang keamanan dan keadilan sejagat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here