KUALA LUMPUR, 15 Mac – Bagi mengekalkan relevansi industri sawit Malaysia, pemain industri dan pekebun kecil perlu meningkatkan hasil buah tandan segar (BTS) dan minyak sawit mentah (MSM), kata Menteri Perladangan dan Komoditi (KPK) Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata dalam situasi pembukaan kawasan tanaman sawit yang baharu tidak akan dilaksanakan, penekanan yang tinggal kini adalah kepada usaha untuk meningkatkan hasil.

“Sekiranya kita dapat mencapai hasil BTS sebanyak 18 tan bagi setiap hektar, industri kita akan dapat mengeluarkan 20.5 juta tan metrik MSM. Meningkat sebanyak dua juta tan metrik berbanding dengan pengeluaran MSM pada tahun lepas (18.5 juta tan),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi KPK di Dewan Rakyat, hari ini. 

Mengulas lanjut, Johari berkata antara faktor yang mendorong peningkatan hasil itu adalah melalui penanaman semula yang menepati jadual dengan kadar yang disarankan di antara empat hingga lima peratus pokok kelapa sawit perlu ditanam semula dan bekalan buruh yang mencukupi.

Selain daripada menggunakan benih sawit yang terbukti berkualiti, beliau berkata pembajaan berjadual dan pengurusan ladang yang optimum juga berupaya meningkatkan hasil komoditi itu.

KPK juga turut menggalakkan mekanisasi bagi kerja-kerja am seperti menyusun pelepah, menyusun BTS, mengumpul buah relai dan memindah BTS ke tepi jalan.

“Bagi setiap 100 orang pekerja ladang sawit, 50 daripadanya terdiri daripada kalangan penuai. Oleh itu, kita harus memastikan setiap ladang sawit mempunyai bilangan penuai yang mencukupi agar dapat beroperasi pada kapasiti yang optimum,” tambahnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here