KUALA LUMPUR, 28 Mac – Malaysia kekal komited dalam usaha mereformasi ekonomi dan pada masa sama, bersedia menerima inovasi serta pembangunan mampan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata di bawah kepimpinan berwawasan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Malaysia kini memulakan agenda transformasi ekonomi yang dipacu oleh prinsip-prinsip kerangkuman, inovasi dan kemampanan.

“Teras kepada wawasan kita ialah BRI (Inisiatif Jalur dan Laluan), yang membuka peluang kepada kerjasama antara Malaysia dan China dalam pelbagai bidang termasuk pembangunan infrastruktur, ketersambungan, kemudahan perdagangan serta pertukaran rakyat dengan rakyat.

“Dengan memanfaatkan sinergi antara ekonomi kita dan kuasa transformatif BRI, kita mampu membuka laluan baharu bagi pertumbuhan, mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan taraf hidup rakyat kita,” katanya dalam ucaptama pada Forum Laluan Sutera dan Tamadun Asia 2024 di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong, Menteri Jabatan Perhubungan Antarabangsa Parti Komunis China Liu Jianchao serta Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing.

Fadillah berkata di tengah-tengah hubungan dua hala Malaysia-China terdapat kerangka perdagangan dan pelaburan teguh yang menjadi asas bagi kerjasama ekonomi kedua-dua negara.

Beliau berkata pada 2023, China terus menjadi rakan perdagangan terbesar Malaysia dan kekal begitu selama 15 tahun berturut-turut sejak 2009, menyumbang sebanyak 17.1 peratus daripada jumlah keseluruhan perdagangan negara.

“China juga adalah sumber import terbesar Malaysia iaitu menyumbang sebanyak 21.3 peratus daripada jumlah keseluruhan import. Import dari China berjumlah RM258.63 bilion dengan import utama terdiri daripada produk E dan E (elektrikal dan elektronik), jentera, peralatan serta alat ganti selain bahan dan produk kimia,” katanya.

Fadillah, yang juga Menteri Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air, berkata Malaysia komited sepenuhnya untuk mempromosi tenaga hijau dan kelestarian alam sekitar sebagai komponen penting dalam agenda pembangunannya.

Beliau juga berkata Malaysia dan China juga bersedia menerajui usaha dalam mempromosi tenaga hijau dan sumber boleh diperbaharui dengan kedua-dua negara komited untuk melabur dalam teknologi tenaga bersih seperti solar, angin dan kuasa hidroelektrik.

“Melalui jalinan kerjasama dan inisiatif perkongsian ilmu, kami berhasrat untuk memanfaatkan potensi besar tenaga hijau untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan kesan buruk perubahan iklim serta mewujudkan masa depan yang lebih mampan untuk planet kita.

“Dengan mengutamakan inovasi serta pembangunan mampan dalam semua sektor tenaga, Malaysia dan China bukan sahaja menyumbang kepada usaha global dlaam memerangi isu perubahan iklim malah membuka peluang baharu bagi pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here