GEORGE TOWN, 13 April – Pulau Pinang bersedia menjadi pemangkin kepada Malaysia bagi meningkatkan rantaian nilai cip dan mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pelaburan pilihan bagi pengeluaran elektrik dan elektronik serta semikonduktor di rantau ini, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Beliau berkata dengan lebih 50 tahun kecemerlangan dan kepimpinan industri, Pulau Pinang mampu menyumbang kepada pencapaian matlamat Malaysia seperti yang dibayangkan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).

Menurut Chow, Pulau Pinang, yang digelar Lembah Silikon Timur, merupakan peneraju peringkat akhir proses pembuatan cip semikonduktor dalam negara dan rantau ini, manakala negeri itu turut menyumbang secara konsisten pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) tahunan Malaysia.

“Bagaimanapun, untuk Pulau Pinang menyumbang lebih jauh kepada pencapaian Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi, idea yang berani dan inovatif diperlukan bukan sahaja daripada firma asing tetapi dari akar umbi.

“Oleh itu, syarikat pemula teknologi tempatan yang mengasah kemahiran dalam reka bentuk litar bersepadu serta penyelidikan dan pembangunan mampu melonjakkan Malaysia lebih jauh dalam rantaian nilai,” kata ketua menteri itu dalam satu hantaran Facebook hari ini.

Terdahulu, Nikkei Asia menerbitkan artikel bertajuk “Malaysian ‘Silicon Valley’ seeds homegrown chip startups”, yang menekankan bahawa masanya sudah tiba untuk Malaysia meneroka ke dalam reka bentuk cip.

Chow, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kewangan, Pembangunan Ekonomi, Tanah dan Komunikasi negeri, berkata bahawa trajektori pertumbuhan Pulau Pinang kelihatan meyakinkan dengan perluasan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan projek Pulau Silikon yang dalam perancangan.

Beliau turut menyentuh berkenaan projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang Mutiara Line, yang bukan sahaja meningkatkan pasaran hartanah dan berpotensi menarik pelaburan langsung asing, malah satu langkah penting ke arah pembangunan yang lebih saksama di semua negeri.

“Projek LRT itu bukan sahaja melegakan mereka yang menghadapi kesesakan lalu lintas semasa musim perayaan tetapi juga mempunyai manfaat ekonomi yang menjanjikan, seperti yang diketengahkan oleh penganalisis,” katanya.

Kerajaan pusat secara rasmi mengambil alih projek LRT daripada kerajaan negeri berikutan keputusan Kabinet meluluskan cadangan pembangunan projek itu pada 22 Mac 2024.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here