KUALA LUMPUR, 16 April – Pandangan pelbagai pihak termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), akan diperoleh dalam meneliti penambahbaikan aspek keselamatan di lapangan terbang di seluruh negara.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata ini termasuk cadangan agar pihak lapangan terbang mengadakan pengimbas, supaya pengesanan awal dapat dilakukan terhadap orang awam yang membawa barangan terlarang seperti mercun dan senjata api.

“Langkah menambah baik aspek keselamatan ini memerlukan perbincangan lanjut antara Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) selaku operator atau pengendali lapangan terbang.

“Jadi saya menyerahkan kepada mereka untuk mengadakan perbincangan, sebab ini melibatkan soal operasi dan apa-apa perubahan terhadap prosedur operasi standard (SOP) di lapangan terbang, perlulah diadakan perbincangan lebih lanjut terlebih dahulu, kemudian baharulah kementerian mengambil maklum,” katanya.

Beliau mengulas insiden tembak di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 pada Ahad, ketika ditemui media selepas Majlis Pelancaran Stesen Pengecasan EV, Evlution di RHB Centre, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 1.30 pagi Ahad, seorang lelaki melepaskan dua das tembakan dengan satu daripadanya terkena pengawal peribadi kepada isterinya.

Kejadian berlaku ketika wanita itu sedang menunggu kepulangan jemaah umrah di balai ketibaan.

Polis setakat ini mengklasifikasikan motif kes berkaitan perihal peribadi dan suspek telah direman tujuh hari bermula hari ini, selepas ditahan di sebuah lokasi di Kota Bharu, Kelantan kira-kira pukul 3 petang semalam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here