KUALA LUMPUR, 23 April – China Investment Corporation (CIC) sedang giat meneroka peluang pelaburan ekuiti swasta (PE) di Asean kerana ia menunjukkan momentum yang baik sejak separuh kedua tahun lalu.

Timbalan Ketua Pegawai Pelaburan dana kekayaan negara China itu, Dr Qi Bin berkata momentum positif berkenaan dijangka berterusan pada 2024 walaupun terdapat rintangan dan risiko global yang berterusan.

“Antara sektor utama landskap PE Asean pada masa hadapan ialah penjagaan kesihatan, teknologi dan kecerdasan buatan, ekonomi hijau, pengguna berorientasikan kerjaya dan peluang, perkhidmatan perniagaan, serta rantaian bekalan,” katanya pada sesi bertajuk “The Intersection of China and Asean: In Search of Growth Verticals” pada Sidang Kemuncak KL20 2024 di sini hari ini.

Bagi tahun lepas, katanya tiga sektor pelaburan PE teratas ialah penjagaan kesihatan, telekomunikasi dan perkhidmatan perniagaan.

Ditubuhkan pada 2007, CIC ialah dana kekayaan republik itu yang menguruskan sebahagian daripada rizab pertukaran asing China.

Mengenai Malaysia, beliau berkata negara itu cepat mendapat daya tarikan sebagai salah satu destinasi kegemaran untuk melabur kerana lokasinya yang strategik, akses kepada pasaran global dan liberalisasi dalam pemilikan ekuiti.

“Malaysia sangat menarik terutamanya kerana pasaran buruhnya yang kuat, pemulihan dalam eksport, sokongan dasar yang baik serta peningkatan berterusan dalam ketersambungan dengan perkhidmatan kami,” katanya.

Qi turut menegaskan bahawa China juga memainkan peranan penting dalam mentransformasikan struktur ekonomi Malaysia dengan lebih banyak pelaburan akan datang dari China ke Malaysia seperti Geely Auto dan Longi.

“Mengukuhkan lagi hubungan perdagangan dan pelaburan dua hala mampu menyokong strategi Malaysia untuk transformasi ekonomi dari segi perindustrian semula dan menghijaukan ekonominya,” kata beliau.

China mengekalkan kedudukannya sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama 15 tahun berturut-turut, mewakili 17.1 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia dengan dunia, dan sehingga Februari 2024, jumlah dagangan di antara kedua-dua negara mencapai US$15.52 bilion (US$1 = RM4.78).

Sidang Kemuncak KL20 2024 yang diterajui oleh Kementerian Ekonomi bersedia untuk meningkatkan semula kedudukan Malaysia sebagai hab syarikat pemula niaga dan pemodal teroka, serta mengangkat Kuala Lumpur menjadi kelompok 20 teratas syarikat pemula niaga global menjelang 2030.

Dengan tumpuan yang mendalam untuk memupuk ekosistem syarikat pemula niaga yang dinamik, sidang kemuncak itu bertujuan menarik syarikat pemula niaga dan pelabur dari seluruh dunia mewujudkan platform kerjasama, pelaburan dan pertumbuhan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here