GEORGE TOWN, 23 April – Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) menyasarkan semua 396 sekolah di seluruh negeri itu dilengkapi dengan sekurang-kurangnya sebuah papan pintar atau smartboard menjelang hujung tahun ini.

Pengarah Pendidikan negeri Abdul Said Hussain berkata ketika ini terdapat hampir separuh sekolah rendah dan menengah di Pulau Pinang yang masih belum dilengkapi dengan kemudahan berkenaan.

“Berdasarkan data yang kami ambil dua bulan lepas, ada 189 buah sekolah belum ada papan pintar dengan kebanyakannya adalah dalam daerah Barat Daya. Malah, lebih kurang 83 sekolah bukan saja tak ada papan pintar tetapi smart tv (televiyen pintar) atau sebarang alat interaktif Pengajaran dan Pembelajaran (PDP)

“Justeru, sasaran kita adalah sampai hujung tahun ini, dengan bantuan daripada semua ahli parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan badan bukan kerajaan (NGO) dapat melengkapkan semua sekolah dengan sekurang-kurangnya satu papan pintar,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Santuni Murid Berkeperluan Pendidikan Khas dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) Jalan Hutton, di sini hari ini yang turut dihadiri Timbalan Menteri Kewangan merangkap Ahli Parlimen Tanjong Lim Hui Ying.

Abdul Said berharap visi itu dapat direalisasikan sejajar dengan agenda pendidikan digital yang ditekankan oleh Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Dasar Pendidikan Digital (PDP) yang dilancarkan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek pada November tahun lepas.

Ini kerana, beliau tidak mahu ada murid atau sekolah ketinggalan atau dinafikan hak untuk belajar sedangkan kebanyakan sekolah lain terutama di kawasan bandar sudah pun terkedepan dengan belajar menggunakan kaedah pembelajaran secara digital.

“Semua warga pendidikan berhak untuk mendapat pendidikan secara adil. Sebab itu dalam hal ini kita amat mengharapkan kerjasama ahli parlimen dan ADUN supaya membantu JPN menjaga kawasan dengan memastikan setiap sekolah di kawasan masing-masing dilengkapi dengan papan pintar.

“Kita juga sudah maklumkan hasrat kepada pihak Kerajaan Negeri dan respons diterima amat baik,” katanya.

Sementara itu, Lim ketika berucap menyokong hasrat JPN itu selain menyatakan komitmen akan memastikan semua enam sekolah di kawasan Parlimen Tanjong termasuk Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) akan dibekalkan dengan papan pintar menjelang Jun ini.

Pada majlis sama, Lim turut menyampaikan sumbangan Ahli Parlimen Tanjong berjumlah RM41,600 kepada SKPK Jalan Hutton untuk menyelenggara serta menaik taraf kemudahan di sekolah berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here