KUALA LUMPUR, 24 April – Kepelbagaian penduduk dan faktor geografi yang strategik bakal meletakkan Malaysia sebagai peneraju bagi hab untuk kemajuan teknologi penjagaan kesihatan, inovasi, pelaburan dan syarikat pemula di rantau ini.

Menurut pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MedPlanner Dr Ezam Mat Ali, populasi berbilang budaya Malaysia adalah aset penting yang menyediakan tanah yang subur bagi pelaksanaan penyelesaian dan inovasi rentas sempadan bagi penjagaan kesihatan.

Bercakap pada sesi panel bertajuk ‘Advancements and Opportunities in Healthtech’ semasa Sidang Kemuncak KL20 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini, beliau berkata ia membuka banyak peluang bagi kerjasama dan pengembangan pasaran di negara ini untuk kedua-dua penyedia penjagaan kesihatan tempatan dan antarabangsa atau syarikat pemula.

“Menyedari kepentingan memenuhi keperluan kumpulan etnik yang pelbagai, solusi penjagaan kesihatan mesti disesuaikan untuk memenuhi keperluan unik pelbagai komuniti dan kekayaan budaya Malaysia memberikan pemahaman tidak ternilai untuk pembangunan produk serta memastikan keterangkuman dalam penyampaian perkhidmatan penjagaan kesihatan.

“Berbekalkan lokasinya yang berada di tengah-tengah negara jiran (Indonesia, Singapura dan Thailand), Malaysia berpotensi menjadi hab bagi industri ini,” katanya.

Berkongsi sentimen sama, Pengarah dan CEO Xeraya Capital Sdn Bhd Fares Zahir berkata lokasi strategik Malaysia mampu meletakkannya sebagai hab ideal bagi inovasi teknologi penjagaan kesihatan.

“Berbekalkan lokasinya yang terletak berhampiran pasaran baru muncul dan infrastruktur yang teguh, Malaysia bersedia memanfaatkan peluang yang semakin berkembang dalam sektor teknologi penjagaan kesihatan.

“Ketersediaan Malaysia untuk melibatkan diri dalam perkongsian dan pasaran serantau yang semakin berkembang dalam penjagaan kesihatan dan bioteknologi, pengesahan ini terus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pemain utama dalam landskap penjagaan kesihatan di Asia Tenggara,” katanya.

Sementara itu, ketika membincangkan integrasi kecerdasan buatan (AI) dalam penjagaan kesihatan, Dr Ezam berkata AI akan berpotensi membantu para doktor dalam membuat keputusan tanpa mengetepikan peranan campur tangan manusia dan kepakaran dalam penjagaan pesakit.

Beliau berkata AI berfungsi sebagai alat berharga bagi pakar perubatan, memudahkan proses membuat keputusan dengan lebih pantas dengan menyediakan maklumat berkaitan serta membawa pelbagai faedah termasuk mempercepat masa rawatan, mengurangkan kos dan hasil rawatan yang lebih baik.

“Dengan memperkemas penapisan maklumat dan pengagihan sumber, AI meningkatkan kecekapan dengan amalan perubatan… membantu doktor dan profesional penjagaan kesihatan menilai solusi berdasarkan keadaan pesakit secara individu serta penyelidikan yang meluas.

“Walaupun AI membantu dalam mencapai titik keputusan penting, pertimbangan manusia masih penting dalam mengemudi senario perubatan yang kompleks,” katanya sambil menambah AI terus merevolusikan penjagaan kesihatan serta melengkapkan kepakaran manusia dan bukannya menggantikannya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here